KEHADIRANNYA mewarnai industri seni hiburan tempatan sebagai pelakon boleh dikatakan masih lagi ‘hijau’.
Bermula sebagai seorang pesohor media sosial atau influencer, rezeki pemilik nama Norreen Iman semakin melebar apabila diberi peluang membintangi beberapa buah drama sejak 2020.
Meski sekadar mengisi watak tambahan, Norreen tetap bersyukur kerana dia antara salah seorang pesohor media sosial bertuah yang dapat menembusi dunia lakonan.
Enggan mendabik dada, Norreen ketika ditemui Pose baru-baru ini menganggap peluangnya menceburi dunia lakonan adalah rezeki dan mahu memanfaatkan perkara itu dengan sebaik mungkin.
“Alhamdulillah kerana saya salah seorang pesohor media sosial yang diterima baik mewarnai industri seni hiburan tempatan sebagai pelakon. Rezeki saya,” katanya.
Ujar wanita berusia 28 tahun itu, dia mengakui bukan mudah seorang pesohor media sosial untuk bertapak dan menempa nama dalam industri seni tanah air.
Pemilik nama lengkapnya Norreen Iman Abdullah itu bagaimanapun percaya antara faktor dia diterima masuk dalam industri adalah kerana menjadi diri sendiri.
“Bila bekerja dalam bidang ini (hiburan), kita kena pandai sesuaikan diri dan jadi diri sendiri. Tetapi janganlah sampai lupa diri.
“Kalau dalam media sosial saya memang agak kasar dengan kata-kata kesat. Tapi kita kena tahu bawa diri dan bezakan keadaan.
“Bagi saya, tidak salah nak buat video tular untuk dikenali. Cuma kena beringat dengan siapa anda bekerja dan akan berjumpa,” katanya.
Memanjat rasa syukur, Norreen turut berkongsi rasa gembira dan terharu apabila diberi peluang berlakon bawah produksi penerbit dan pengarah terkenal, Shahrulezad Mohameddin, RadiusOne dalam drama bersiri, Cina Buta.
Kata ibu kepada dua cahaya mata itu lagi, dia mengakui tidak malu apabila terpaksa menebalkan muka menghubungi sendiri Shahrulezad meminta ruangan untuk berlakon dalam naskhah arahannya.
“Saya ingat lagi bila tonton drama-drama arahan abang Ijat (panggilan Shahrulezad), saya buat muka tebal, mesej sendiri dalam Instagram.
“Saya kata teringin nak berlakon dengannya. Sekali dapat menerusi drama Cina Buta. Terima kasih sebab ambil saya berlakon. Ini pengalaman pertama saya bekerjasama dengan produksi RadiusOne. Saya sangat teruja dan gementar,” kata Norreen.
Sewaktu meminta pandangan tentang segelintir pesohor media sosial hari ini yang sukar memberikan kerjasama dengan pihak media, lebih-lebih lagi bagi mereka yang sudah menempa nama, hanya satu pesan Norreen.
Nasihatnya, jangan terlalu sombong.
“Jangan sombong boleh? Jangan bongkak dan takbur sebab kau baru nak ‘up’ (naik). Untuk saya sendiri, saya tidak pernah meletakkan diri saya untuk dibayar setiap masa.
“Jangan berlagak. Sedarlah diri di mana anda bertapak. Bukan semua perkara kita anggap perlu dibayar umpama air liur kita mahal,” katanya.