TOKYO – Seorang wanita di Jepun mengarahkan anaknya yang berusia sembilan tahun supaya menjalani pembedahan plastik pada bahagian mata bagi memastikan dia kelihatan cantik, lapor akhbar Daily Star semalam.
Wanita dikenali sebagai Rucchi itu berkata, sebagai orang Asia yang dilahirkan dengan keadaan tidak mempunyai dua kelopak mata, dia mengalami trauma ketika kecil kerana tidak memiliki mata seumpama itu.
Bagi wanita tersebut, dua kelopak mata merupakan standard kecantikan seseorang individu.
Disebabkan itu, dia menggalakkan anaknya, Micchi, untuk menjalani prosedur pembedahan plastik dengan kisah mereka diterbitkan dalam saluran televisyen, Vice TV.
“Jika anda boleh menahan rasa sakit ketika menjalani pembedahan plastik, anda akan menjadi seseorang yang jelita,” katanya.
Pembedahan plastik dalam kalangan kanak-kanak dibenarkan di Jepun dengan syarat ia mendapat kebenaran ibu bapa.
Menurut Rucchi, ketika kecil, ibu dan adiknya memiliki mata besar yang cantik manakala dia hanya mempunyai satu kelopak mata. Ia menjadikan adiknya lebih cantik daripada dirinya.
“Penduduk wanita di kawasan kejiranan kami menganggap adik saya cantik dan memberikannya gula-gula namun, mereka tidak pernah memberitahu perkara serupa kepada saya.
“Seorang kanak-kanak perlu memiliki dua kelopak mata. Saya tidak pernah melihat gadis dengan satu kelopak mata yang kelihatan cantik,” ujarnya. – Agensi