ALOR GAJAH – Perjalanan enam sekeluarga ke Langkawi bagi meraikan hari jadi berakhir tragedi apabila empat daripadanya maut dalam nahas di Simpang Tiga Jalan Kolam, Machap, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.45 pagi itu, mangsa, Ibrahim Daud, 71; isterinya Latipah Dorahim, 66, dan menantu Syazana Tharin, 30, serta cucu, Yusuf Daniel Muhammad Izwan, 5, meninggal dunia akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, ketika kejadian kesemua mangsa yang menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima dalam perjalanan ke Langkawi bagi meraikan warga emas, Ibrahim Daud yang menyambut tarikh kelahirannya hari ini.
Katanya, setiba di lokasi MPV dinaiki mangsa yang dari arah Alor Gajah telah melanggar sebuah pacuan empat roda Toyota Land Cruiser yang keluar simpang untuk membelok ke kanan menghala ke Selandar.
“MPV dibawa Muhammad Izwan Ibrahim, 30, iaitu anak kepada pasangan warga emas berkenaan cuba mengelak ke arah kanan dan membrek sejauh lima meter.
“Bagaimanapun mereka telah melanggar juga Land Cruiser itu di bahagian kiri hadapan menyebabkan mangsa lelaki warga emas meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini, hari ini.
Mengulas lanjut Arshad berkata, tiga lagi mangsa bagaimanapun meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Alor Gajah.
“Pemandu Muhammad Izwan tidak mengalami kecederaan, namun seorang lagi anaknya Aniq Fahim yang umurnya belum diketahui kini di zon merah.
“Kesemua mayat telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk proses bedah disiasat, manakala pemandu Land Cruiser berusia 59 tahun telah ditahan pada pukul 11 pagi tadi semasa memberi keterangan di Balai Polis Trafik Alor Gajah,” katanya.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.-KOSMO! ONLINE