PETALING JAYA – Komposer lagu Berakhirlah Pencarianku, Ikhwan Fatanna terkilan apabila segelintir peminat menyalahkan dirinya sebagai punca lagu berkenaan tidak dinyanyikan oleh Ernie Zakri dan Hafiz Suip pada Semi Final Muzik-Muzik Ke-37 (SFMM37).
Ikhwan berkata, dia sendiri berasa sedih dan berusaha untuk menerima keputusan yang sudah dibuat pihak pengurusan dan syarikat rakaman kedua-dua penyanyi berkenaan.
“Kenapa ada yang marah saya tentang lagu Berakhirlah Pencarianku. Saya juga turut bersedih tapi saya usaha berdamai dengan keputusan yang telah dibuat.
“Saya sudah kena dua kali, sebelum ini dengan lagu Coretan Pilu dan sekarang lagu ini pula, pastinya saya kecewa,” ujarnya.
Terdahulu, Ernie mengesahkan tidak akan menyanyikan lagu Berakhirlah Pencarianku di pentas SFMM37 selepas dimaklumkan pihak pengurusan.
Lagu ciptaan bersama Wan Saleh dan lirik oleh Datuk A. Aida itu akan dinyanyikan oleh Wani Kayrie dan Ahmad Syafiq.
Dalam pada itu, Ikhwan yang juga seorang penyanyi memberitahu apa yang berlaku di luar bidang kuasanya sebagai pencipta lagu.
“Hidup ini bukan atas kawalan saya. Saya dah galas dan jalankan tanggungjawab menciptakan lagu untuk anda semua sampai hati marah dan salahkan saya?
“Kita kerja belakang tabir saja bukan penting pun ya,” ujarnya.
Bagaimanapun, pelantun Bismillah ini berterima kasih kepada peminat yang mengundi lagu tersebut sehingga layak ke SFMM37.
Dia juga berharap lagu berkenaan dinyanyikan dengan baik oleh dua penyanyi ganti iaitu Wani Kayrie dan Syafiq pada malam pertandingan itu nanti.
“Saya reda, kena menjaga hati semua orang. Peminat yang undi lagu ini, syarikat rakaman yang bantu promo lagu ini dan beri peluang kerja pada saya.
“Hafiz dan Ernie yang juga sahabat saya, penyanyi ganti Wani dan Syafiq yang juga kawan-kawan saya. Jadi jagalah juga hati saya.
“Impian pastinya melihat Hafiz dan Ernie kerana mereka yang bawa lagu ni ke tempat yang lebih baik,” ujarnya.