NEW DELHI – Mahkamah Tinggi India kelmarin memerintahkan pembebasan enam individu yang disabitkan dengan kesalahan membunuh bekas Perdana Menteri, Rajiv Gandhi, 31 tahun selepas mereka dipenjara, lapor stesen penyiaran CNN.
Mahkamah membebaskan Nalini Sriharan, satu-satunya pesalah wanita dalam kes tersebut di samping lima tertuduh lelaki yang lain, demikian menurut peguam, Anand Landge.
Keenam-enam mereka diberkas beberapa minggu selepas Rajiv dibunuh dalam kejadian serangan bom pada 21 Mei 1991 di negeri Tamil Nadu.
Serangan itu dikatakan didalangi puak pemberontak pemisah yang bertempur untuk sebuah negeri Tamil di Sri Lanka.
Pembunuhan Rajiv dilihat sebagai tindak balas terhadap keputusan mendiang yang mengerahkan tentera India ke Sri Lanka pada 1987 untuk menguatkuasakan perjanjian damai bagi menamatkan perang saudara di pulau itu.
Selama beberapa tahun, beberapa kerajaan negeri Tamil Nadu telah memohon pembebasan mereka yang didapati bersalah dalam serangan tersebut.
Pada Mei lalu, Mahkamah Tinggi memerintahkan pembebasan A. G. Perarivalan, seorang lagi tertuduh dalam kes berkenaan.
Perarivalan, yang ketika serangan itu berusia 19 tahun dituduh membeli beberapa unit bateri untuk digunakan dalam menghidupkan bom.
Dia disabitkan dengan kesalahan berkomplot untuk melakukan pembunuhan serta beberapa pertuduhan lain. – Agensi