SEBERANG PERAI – Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan (Maqis) Pulau Pinang merampas 120 kotak produk ruminan lembu sejuk beku yang dibawa masuk dari Brazil di Pelabuhan Pangkalan Kontena Butterworth (NBCT) di sini Khamis lalu.
Pengarah Maqis negeri, Muhammad Ikram Abd Talib berkata, barang dagangan import itu dirampas kerana menggunakan maklumat yang mengelirukan.
Menurutnya, penemuan ekor lembu sejuk beku itu susulan pemeriksaan anggotanya terhadap sebuah kontena di tapak pemeriksaan kastam NBCT.
“Pemeriksaan rutin yang dilakukan itu membawa kepada rampasan 3,000 keratan ekor lembu sejuk beku yang dianggarkan bernilai RM76,000. Kesemua dagangan tersebut telah ditahan untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini. – KOSMO! ONLINE