fbpx

256 petani terjejas akibat banjir – MAFI

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Sekurang-kurangnya 256 petani dengan anggaran keluasan 374.81 hektar kawasan pertanian telah dikesan secara kumulatif terjejas akibat kejadian bencana banjir setakat hari ini.

Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) berkata, antara negeri yang terlibat adalah Pahang dengan empat daerah, masing-masing dua daerah di Kedah, Perak dan Selangor dan satu daerah di Johor.

“Tumpuan utama kini diberikan kepada pemantauan situasi secara harian oleh pasukan MAFI Inc. di setiap negeri dan daerah yang terkesan, manakala negeri-negeri lain diminta untuk bersiap-siaga.

“Negeri-negeri ini juga telah diminta untuk bekerjasama dengan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan pihak berkuasa tempatan bagi menghadapi situasi luar jangka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas kenyataan itu, bilik gerakan MAFI di seluruh negara juga telah diaktifkan bagi membantu mangsa banjir terutamanya golongan petani, penternak dan nelayan yang terjejas akibat bencana tersebut.

“MAFI menerusi MAFI Inc. di negeri-negeri telah menggerakkan jabatan dan agensi untuk segera memantau dan bersiap-siaga selain turun padang meninjau keadaan terutamanya golongan sasar MAFI bagi menilai kerosakan dan kerugian yang dialami, serta segera menghulurkan
bantuan kepada pihak terlibat.

“Bilik Gerakan Bencana Pusat juga telah digerakkan bagi persiapan mengenai intervensi bantuan kepada komuniti agromakanan yang terjejas disebabkan bencana banjir,” katanya.

Tambahnya, pihak MAFI juga sentiasa bersiap-siaga untuk menyalurkan bantuan sejurus maklumat berkaitan diperolehi di lapangan oleh pegawai-pegawai MAFI Inc. yang turun padang bagi meninjau dan membantu mangsa.

“Kementerian akan sentiasa memastikan kebajikan dan keselamatan mangsa terutamanya golongan sasar MAFI diberi perhatian sepenuhnya dengan kerjasama erat daripada semua pihak terutamanya jabatan dan agensi negeri, selain memastikan sekuriti makanan sentiasa terjamin dalam apa jua keadaan,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI