PETALING JAYA – Teman lelaki kepada Allahyarham Syazlin Zainal yang maut selepas terjatuh dari tingkat 22 sebuah pangsapuri di Johor Bahru tampil membuat luahan perasaan di laman instagram miliknya, semalam.
Penyanyi rap, Shaf Pablo menzahirkan rasa kehilangan berhubung pemergian teman wanitanya yang berlaku dengan sangat cepat dan menyifatkan kehadiran Syazlin dalam hidupnya begitu singkat namun reda dengan pemergiannya.
“Terima kasih untuk segalanya sayang. Saya tidak akan lupakan semua kenangan manis, suka dan duka, gembira kita bersama.
“Allah pinjamkan awak bersama saya betul-betul sekejap. Saya kena terima setiap yang hidup mesti akan berasa mati dan perkara yang paling hampir dengan kita adalah kematian serta benda yang paling jauh dengan kita adalah hari semalam.
“Siapalah diri ini untuk menolak qada dan qadar. Walaupun berat, saya cuba yang terbaik untuk diri ini,” luahnya dalam satu hantaran di Instagram.
Dalam pada itu, Syaf yang hadir ke majlis pengebumian arwah di Tanah Perkuburan Islam Taman Keramat AU2 turut mendoakan agar arwah ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
“Sayang, percayalah saya akan cuba sedaya upaya yang saya mampu untuk kuat harungi liku-liku kehidupan ini berseorangan tanpamu. Semangat dan impian sayang akan saya bawa bersama sampai tiba masa saya bersama dengan awak di sana kelak.
“Allah lebih sayangkan awak. Semoga roh sayang ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Tenanglah disana sayang, kekasihmu ini akan selalu merinduimu. Saya sayang awak Syazlin Suhaizan Zainal,” tulisnya lagi.
Untuk rekod, arwah Syazlin Zainal mula dikenali selepas membintangi drama berepisod SiTik Tok yang dimuatkan dalam slot Samarinda, TV3. – KOSMO! ONLINE