fbpx

Tak jadi gaduh sebab Siti Nurhaliza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dua pihak yang baru lepas kemalangan tidak jadi marah apabila berbual mengenai Siti Nurhaliza baru-baru ini.

Satu ketika dahulu, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin pernah dianggap Malaysia’s Sweetheart. Semua orang dalam Malaysia tidak kira kaum kenal dia, semua lagu tema kenegaraan dan patriotik pun kalau boleh nak dia yang nyanyikan.

Cuti-Cuti Malaysia, Cintai Kraf Malaysia, Budi Bahasa Budaya Kita, Membaca Gaya Warisan, Kuala Lumpur dan Satu Malaysia antara lagu yang didendangkannya.

Pernah juga terjadi perdebatan siapakah lelaki dalam lagu Lelaki (Warkah Seorang Anak) yang dinyanyikannya pada tahun 1999. Ada yang mendakwa didedikasikan kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan tidak kurang juga yang yakin ditujukan buat Allahyarham Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Siti diketengahkan dalam banyak kempen kerajaan Pusat, antaranya pernah dicadangkan menjadi Ikon Askar Wataniah oleh Kementerian Pertahanan, namun kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP pada tahun 2010 juga pernah mahu menganjurkan konsert percuma Siti Nurhaliza sempena Hari Malaysia. Ia bagaimanapun dibatalkan kerana faktor kesihatan Siti yang disahkan oleh doktor.

Apa yang hendak disampaikan di sini bukanlah tentang politik, tetapi penegasan bahawa walau berbeza dari banyak segi, ‘semua’ tahu dan mahu dia.

Lagu Bukan Cinta Biasa dendangannya juga boleh dikatakan antara lagu Melayu yang paling diketahui kebanyakan orang bukan Melayu.

Nampaknya, setelah lebih dua dekad, keadaan masih sama. Baru-baru ini tular satu video yang menunjukkan sekumpulan orang lupa ketegangan yang telah terjadi di antara mereka akibat kemalangan apabila tiba-tiba topik konsert Siti Nurhaliza dibangkitkan.

Kemalangan itu terjadi melibatkan adik-beradik yang baru pulang dari konsert Music of the Soul Siti Nurhaliza. Kereta mereka berlanggar dengan sebuah kenderaan dinaiki beberapa pemuda bukan Melayu dipercayai India.

Suasana tegang berubah santai apabila salah seorang adik-beradik itu memberitahu dia baru pulang dari konsert Siti dan berpeluang memeluk Siti, kemudian pemuda-pemuda India itu teruja ingin melihat gambar lalu mereka leka berbual mengenainya. Sebelum pulang mereka menyebut ‘1Malaysia bro’.

“Tun Hussein Onn Bapa Perpaduan, Siti Nurhaliza Ibu Perpaduan,” komen seorang netizen pada video di TikTok itu. “Sebut je nama Siti Nurhaliza, semua masalah selesai,” tulis netizen yang lain pula.

Itu baru ‘pergaduhan’ skala kecil. Pasti ramai masih ingat slogan ‘Ganyang Malaysia, Selamatkan Siti Nurhaliza’ semasa perseteruan pertembungan isu antara dua negara Malaysia dan Indonesia pada 2005.

Lantaran Siti saja hal yang sering ‘menyejukkan’ dua negara, Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia pernah menyarankan Siti menjadi Duta Kebudayaan Masyarakat Melayu bagi usaha mengakrabkan dua negara tersebut.

Sebagaimana persembahan lagu Ratuku nyanyian asal Awie yang dialunkan Siti dalam konsert Music of the Soul mencetuskan tular dan impak, ternyata Siti juga boleh diangkat sebagai ‘ratu’ penyatuan, kerukunan, keharmonian dan kedamaian.

Baru-baru ini pula, Siti mewariskan ‘aura penyatuan’ kepada anak-anaknya apabila menjadi ‘penyatu’ Malaysia dan Palestin menerusi sekolah yang dibinanya. Berdasarkan perkongsian video di Instagram, sekolah dinamakan Raudhatul Afwa Walaafiyah itu dipenuhi ramai kanak-kanak Palestin dengan gambar Siti, suami dan anak-anaknya tertera di banyak kawasan sekolah.

“Kami cinta Malaysia,” laung sekumpulan murid Palestin yang membawa sepanduk tertulis Afwa dan Aafiyah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI