fbpx

Sultanah Kelantan ketuai senarai penerima darjah kebesaran Hari Keputeraan Sultan Kelantan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nur Diana Petra Abdullah mengetuai senarai penerima sempena Hari Keputeraan Sultan Kelantan hari ini. FOTO IHSAN UNIT MEDIA PEJABAT SULTAN KELANTAN

KOTA BHARU – Sultanah Kelantan, Nur Diana Petra Abdullah mengetuai senarai 769 penerima darjah kebesaran bintang, pingat dan surat kepujian sempena Hari Keputeraan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V yang Ke-53 hari ini.

Baginda dikurniakan gelaran Duli Yang Maha Mulia Sultanah Kelantan dan Darjah Kerabat Yang Amat Dihormati Al-Yunusi (DK).

Yang Teramat Mulia Che Puan Mahkota Kelantan, Yang Teramat Mulia Che Puan Sofie Louise Johansson Petra menerima darjah kebesaran Seri Paduka Mahkota Kelantan (SPMK) membawa kepada gelaran Datuk.

Turut menerima gelaran sama ialah Yang Amat Mulia Pengiran Muda Abdul Qawi Ibni Duli Yang Teramat Mulia (DYTM), Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah dari Brunei Darussalam.

Tengku Muhammad Fakhry Petra Ibni Al-Marhum Sultan Ismail Petra turut dikurniakan gelaran Tengku Bendahara Kelantan.

Baginda turut berkenan mengurniakan darjah Seri Paduka Jiwa Mahkota Kelantan (SJMK) yang membawa gelaran datuk kepada Timbalan Mufti negeri Kelantan, Datuk Nik Abdul Kadir Nik Mohamad, Menteri Kewangan, Datuk Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Selain itu, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, Datuk Seri Amran Mohamed Zin dikurniakan Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (SPSK) yang membawa gelaran Datuk.

Penerima tunggal bagi darjah Seri Paduka Jasa Mahkota Kelantan (SPJK) yang membawa kepada gelaran Datuk ialah bekas Komisioner Jeneral Penjara, Datuk Zulkifli Omar.

Seramai 12 penerima Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (DJMK) yang membawa gelaran Datuk termasuk Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Datuk Dr. Izani Husin dan penyandang Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah.

Tujuh penerima Darjah Kebesaran Kesateria Mahkota Kelantan Yang Amat Perkasa (DPKK) termasuk Panglima 3 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Rashidin Hashimi Ab Rashid, Pengarah Markas Tentera Darat, Jabatan Arah Artileri, Brigedier Jeneral Datuk Zulmajdi Yunus dan Panglima Briged Ke-8 Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Datuk Abu Hasan Assha’ari Kamis@Shaffiee.

Bagi Darjah Kebesaran Setia Mahkota Kelantan Yang Amat Terbilang (DPSK), seramai 18 penerima menerima gelaran Datuk antaranya Pengarah Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Datuk Dr. Abdul Haris Muhammad, bekas Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat dan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Zailani Hashim.

Dua penerima Darjah Kebesaran Jasa Mahkota Kelantan Yang Amat Setia (DPJK) dan yang membawa gelaran Datuk dikurniakan kepada Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun dan Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd. Zubil Mat Som. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI