PETALING JAYA – Tiada lagi mimpi ngeri buat kakitangan klinik gigi di Bandar Seri Putra, Bangi apabila suspek yang menyamun premis itu pada Isnin lalu diberkas polis.
Pengurusnya yang dikenali sebagai Muhammad, 33, berkata, selepas kejadian itu, dia buntu memikirkan keadaan pekerjanya yang masih trauma.
“Sebagai pengurus yang mempunyai pekerja dan premis yang perlu diurus, jadi saya serahkan kepada pihak berkuasa untuk siasat.
“Terima kasih kepada polis kerana bertindak pantas menangkap suspek terlibat,” katanya di sini semalam.
Muhammad turut memuji tindakan orang ramai yang menularkan kejadian itu sehingga membawa kepada penahanan suspek.
“Polis memaklumkan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) memudahkan pihak berkuasa menyiasat seterusnya menahan dua suspek utama kejadian ini.
“Alhamdulilah, pekerja saya juga semakin baik dan hampir pulih daripada trauma. Setakat ini mereka masih bercuti,” ujarnya.
Tambahnya, kejadian itu diharap dapat menjadi pengajaran buat orang ramai supaya sentiasa berjaga-jaga.
Kosmo! sebelum ini melaporkan seorang doktor gigi dan tiga pembantunya disamun dua lelaki bersenjatakan parang di Bandar Seri Putra pada Isnin lalu.