PETALING JAYA – Sebuah keluarga berkongsi salah satu cara unik diusahakan mereka bagi merawat penyakit saraf bapanya yang sedang mengalami masalah strok.
Video yang dimuat naik seorang pengguna akaun TikTok @sueee_89, memaparkan tindakan mereka sekeluarga menanam sebahagian badan bapanya itu ke dalam pasir pantai di bawah cuaca panas terik.
Tindakan mereka itu juga menjadi persoalan dalam kalangan orang ramai yang bertanyakan tentang kaedah tersebut.
“Asalnya mentua tak larat dah dan tak boleh berjalan mana-mana, apabila kami tanam, dah gagah boleh berjalan semula.
“Alhamdulillah, memang selepas tanam dia (bapa) segar sedikit dan santai-santai,” katanya menerusi keterangan video.
Lebih menarik apabila mereka menggunakan khidmat jengkaut yang juga milik salah seorang ahli keluarga untuk mengorek lubang.
Kejadian tersebut berlaku di Pantai Sungai Ular, Kuantan, Pahang.
Tambah pemilik akaun tersebut, mentuanya itu sudah beberapa kali menjalani kaedah seperti ini yang membantu mengaktifkan dan memulihkan saraf-saraf yang terjejas.
“Mentua juga ada mendapatkan rawatan moden di hospital selain menggunakan kaedah alternatif seperti ini.
“Usaha untuk orang tersayang itu penting. Selebihnya kita doa dan minta pada Allah,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE