fbpx

Pulau Jerejak port kaki pancing lepas gian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ABDUL WAHID menunjukkan ikan kerapu yang berjaya dinaikkan sewaktu memancing di Pulau Jerejak.

SEBUT sahaja Pulau Jerejak di Pulau Pinang, pasti ramai kaki pancing yang teruja dan tidak sabar untuk turun melepaskan gian menawan ikan di situ.

Kawasan perairan di Pulau Jerejak sering menjadi tumpuan kaki pancing terutama dari negeri-negeri di utara Semenanjung.

Seorang pekerja bank di Sungai Petani, Kedah, Abdul Wahid Wahab, 48, berkata, pulau tersebut merupakan salah satu lokasi kegemarannya memancing bersama rakan-rakan.

Katanya, lokasi itu mudah dikunjungi dan mereka tidak perlu mengambil cuti panjang kerana boleh pergi balik pada hari yang sama.

“Namun jika dapat cuti panjang, kami akan berkhemah di pulau tersebut untuk memancing di tepi pantai.

“Memang seronok memancing di perairan pulau ini. Biasanya, kami akan menyewa sebuah bot yang boleh dinaiki seramai empat orang,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Ujarnya, kawasan perairan itu mempunyai banyak batu serta batu karang yang menjadi tempat tumpuan pelbagai spesies ikan mencari makanan.

“Ia bagaikan lubuk ikan, tetapi kami perlu berhati-hati kerana kawasan sebegini amat sukar untuk memancing.

“Banyak cabaran yang perlu ditempuhi terutama mata kail tersangkut pada batu karang atau celah batu,” ujarnya.

SEEKOR ikan siakap seberat 6 kilogram berjaya ditewaskan oleh Abdul Wahid.

Menurut Abdul Wahid yang juga ahli kumpulan memancing Sempoi Utara, kawasan perairan tersebut mempunyai pelbagai spesies ikan seperti kerapu, jenahak dan siakap.

“Permainan ikan liar di sini memberi keterujaan kepada kami apabila dapat bertarung dengan spesies yang agak ganas.

“Kami perlu menunjukkan kemahiran masing-masing bagi menewaskan ikan yang sangkut pada mata kail,” jelasnya.

Menurutnya, jika tidak berhati-hati, ikan yang ditangkap akan melarikan diri ke celah-celah- batu atau batu karang.

“Keadaan ini menyebabkan ikan amat sukar untuk dinaikkan kerana tali pancing akan terputus apabila terkena batu karang yang tajam.

“Arus deras juga berpotensi untuk ikan melarikan umpan ke dalam batu karang. Cabaran itu langsung tidak melemahkan semangat, malah kami rasa semakin teruja untuk menaikkan ikan di kawasan perairan ini,” ujarnya.

Ceritanya lagi, udang hidup dan ikan belanak merupakan antara umpan yang sering digunakan oleh kaki pancing di kawasan perairan tersebut.

“Kebiasaannya, saiz ikan yang berjaya dinaikkan seberat 3 kilogram (kg) hingga 6kg. Saya pernah dengar ada kumpulan pemancing lain yang berjaya menewaskan ikan seberat kira-kira 12kg,” katanya.

Menurutnya, apa yang penting adalah kepuasan memancing kerana kadangkala mereka terpaksa menempuh kesesakan teruk di Jambatan Pulau Pinang sebelum sampai ke Jeti Bayan Baru.

“Segala penat lelah itu hilang selepas menaiki bot dan berjaya mendapat ikan,” katanya.

Tambahnya, mereka yang betul-betul menghayati hobi itu sahaja dapat mengetahui kepuasan memancing ikan.

“Aktiviti ini juga membolehkan saya menambah kenalan serta bertukar-tukar pandangan dengan para pemancing lain,” katanya.

Pada masa sama, dia berharap semua pihak dapat memelihara ekosistem kawasan perairan di negara ini bagi menjamin habitat ikan, sekali gus menjadi tempat tumpuan para pelancongan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI