HULU TERENGGANU – Kerajaan negeri Terengganu sedia mempertimbangkan cuti peristiwa sehari selepas hari pengundian Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November ini.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, cadangan tersebut akan dibincangkan secara mendalam dalam mesyuarat exco mingguan pada Rabu ini.
“Kita akan bincang (cuti peristiwa sempena PRU15, Insya-Allah. Hari ini baru hari Sabtu kan, ada masa lagi. Keputusan (cuti atau tidak) biar lah ada kaedah dan prosesnya.
“Kita akan tengok apa langkah terbaik sebab sudah mengambil beberapa cuti (peristiwa) sepanjang tahun ini. Apa-apa pun kita akan pertimbangkan,” katanya di Kampung Langgar di sini hari ini.
Terdahulu beliau ditemui sewaktu turun padang membantu kempen PRU15 calon Perikatan Nasional (PN) bagi Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid.
Ahmad Samsuri berkata, setakat ini tiada keperluan untuk mengumumkan cuti peristiwa pada sehari sebelum hari pengundian PRU15 kerana Terengganu sememangnya bercuti rehat pada hari Jumaat.
Sebelum ini, kerajaan negeri Terengganu telah mengumumkan dua hari cuti peristiwa tambahan sempena Hari Raya Aidilitri dan perlawanan akhir Piala FA sepanjang tahun ini. – KOSMO! ONLINE