fbpx

PRU15: Misi selamatkan Pasar Keramat, Johari mahu jadi pengantara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Johari (tengah) bertemu peniaga di Pasar Keramat ketika melakukan kunjungan di situ tadi

KUALA LUMPUR- Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani tekad untuk menjadi perantara bagi menyelamatkan Pasar Keramat yang berdepan masalah infrastruktur daif.

Pasar Keramat berusia lebih 40 tahun dan mempunyai seramai 334 penjaga berdepan pelbagai masalah infrastruktur seperti pendawaian, tandas rosak serta parkir sekali gus menyukarkan pengunjung untuk ke situ.

Susulan itu, Johari berkata, proses menyelamatkan Pasar Keramat memerlukan perbincangan menang-menang antara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), pemaju dan peniaga.

Menurutnya, beliau mahu menjadi perantara bagi ketiga-tiga pihak untuk mendapatkan jalan penyelesaian terbaik.

“Saya akan jadi perantara bagi persatuan penjaja dan pemaju dengan DBKL. Saya akan bincang untuk mencari solusi menang-menang.

“Pemaju menang, DBKL menang, mereka juga sudah enam tahun tidak dapat duit. Saya difahamkan hanya beberapa peratus sahaja yang baru dikutip,” katanya selepas melakukan kunjungan ke Pasar Keramat di sini tadi.

Katanya, sumber pendapatan peniaga juga dilihat akan terjejas sekiranya masalah itu tidak diselesaikan segera memandangkan mereka mempunyai tanggungan seperti anak-anak di rumah.

“Pasar Keramat ini perlu dibangunkan secepat mungkin bagi memberi keselesaan kepada pembeli memandangkan kedudukan strategiknya yang berhampiran pengangkutan sistem Transit Aliran Ringan (LRT).

“Mereka sudah tunggu terlalu lama dari segi pembangunan, saya difahamkan bahawa tanah ini telah dijual oleh DBKL kepada pemaju enam tahun dulu, tetapi pemaju tidak boleh laksanakan pembangunan, tidak tahu sebab apa,” ujarnya.

Menurutnya, DBKL dan pemaju juga perlu berbincang bagi memastikan isu-isu dihadapi peniaga seperti masalah pendawaian, tandas rosak, jalan berlopak serta parkir dapat diselesaikan secara terbaik.

“Paling penting bila DBKL menjual tanah dan DBKL tidak mendapat sepenuhnya. Jadi, apabila penjaja ada masalah pendawaian, tandas, soal jalan berlopak dan parkir, mereka mengadu dan difahamkan bukan di bawahnya lagi.

“Pemaju pula tidak buat apa-apa. DBKL dan pemaju yang ada hak membangunkan kawasan ini tetapi mereka kena duduk berbincang dan buat keputusan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI