PUTRAJAYA – Mana-mana pihak yang mempunyai maklumat juga bukti berhubung perbuatan sogokan atau rasuah perlu melaporkannya kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Unit Komunikasi Korporat, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkata demikian sebagai maklum balas kepada dakwaan berlakunya perbuatan sogokan atau rasuah semasa proses pengundian pos di Parlimen P.090 Bera.
“SPR menegaskan sekiranya terdapat perbuatan sogokan atau rasuah semasa proses ketika pengundian pos di Parlimen P.090 Bera sebagaimana didakwa, pengadu yang mempunyai maklumat atau bukti disarankan untuk melaporkan kepada pihak SPRM,” katanya dalam kenyataan ringkas hari ini.
Terdahulu, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini dilaporkan mendakwa ada anggota tentera khususnya dalam kawasan Parlimen Bera sudah mengundi untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) selain dibayar RM300 untuk berbuat demikian.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagaimanapun menyifatkan dakwaan itu sebagai bersifat fitnah dan merendahkan martabat anggota keselamatan.
Beliau berkata, dakwaan sebegitu sengaja dibuat untuk menimbulkan persepsi negatif masyarakat kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). – KOSMO! ONLINE