PUTRAJAYA – Calon Barisan Nasional (BN) P.125 Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menyatakan kekesalan beliau susulan kejadian poster gambarnya dan bahan kempen lain yang di conteng, semalam.
Tengku Adnan (Ku Nan) ketika ditemui berkata, insiden itu kali pertama di alaminya selepas empat kali bertanding dalam Pilihan Raya Umum (PRU).
Menurutnya, beliau akui rasa sedih kerana ia tidak pernah berlaku selama menjadi wakil rakyat di sini sejak 2004.
“Saya sedih, datang orang dari hutan mana datang dia cat poster saya, pangkah poster saya dan jahanamkan bahan kempen yang kami telah pasang. Kami telah buat laporan polis malam tadi.
“Putrajaya adalah tempat yang aman dan kita tidak mahu insiden ini berlaku lagi. Kita telah didik warga kita bersama-sama bersatu padu dan mempunyai etika yang baik, ini konsep kita, konsep kekeluargaan,” katanya ketika ditemui di Anjung Floria, Presint 4, di sini hari ini.
Katanya, beliau sudah mengarahkan jentera kempen supaya tidak melakukan tindak balas terhadap insiden itu dan banyakkan bersabar.
Ku Nan berkata, beliau menasihatkan pihak yang melakukan perkara itu supaya berhenti melakukan benda-benda mungkar kerana tindakan itu tidak diterima sama sekali di Putrajaya.
“Sebagai ketua kampung di sini, saya telah jaga kampung ini dengan aman sejahtera. Kenapa lakukan semua ini kalau tahu kamu sudah nak kalah.
“Jangan terdesak sangat kita nak bertanding. Bertandinglah secara baik,” katanya.
Katanya, beliau difahamkan insiden itu dikesan berlaku di Presint 8 dan Presint 11 di mana posternya diconteng dan bahan kempen dirosakkan.
Jelasnya lagi, laporan polis sudah dibuat malam tadi dan beliau menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk menyiasat dalang di sebalik insiden itu.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz ketika dihubungi mengesahkan insiden berkenaan.
“Kami mengesahkan dua laporan polis diterima berhubung kejadian itu dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana kesalahan perbuatan khianat,” katanya.-KOSMO! ONLINE