fbpx

PRU15: Jangan gunakan agama, hukum sebagai bahan berkempen – KJ

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Khairy Jamaluddin (kanan) bersalaman dan beramah mesra bersama pelajar tahfiz Darul Ulum Az Zahra, Sungai Buloh hari ini.

SUNGAI BULOH – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menegaskan agar calon-calon yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak menggunakan isu agama serta hukum sebagai bahan berkempen.

Katanya, Pas tidak wajar mengeluarkan kenyataan dengan mengatakan ‘undi BN, Pakatan Harapan (PH) masuk neraka’ ketika menjalankan kempen PRU15.

Menurut Penyandang kerusi Parlimen Rembau itu, tindakan Ketua Pemuda Pas Sik, Mohd. Shahiful Mhd. Nasir yang mengeluarkan hukum masuk neraka sekiranya rakyat mengundi PH dan BN jelas menunjukkan ia bertentangan dengan ajaran agama Islam.

“Itu memang tidak patut dibuat itu adalah satu kenyataan bertentangan dengan agama sendiri. Agama jangan kita gunakan sebagai sesuatu bahan berkempen.

“Perkara ini saya rasa kita sudah tinggalkan mengkafirkan ini, zaman 80-an punya politik saya rasa tidak patut dikatakan begitu,” katanya kepada pemberita selepas program Ramah Mesra Bersama Pelajar Tahfiz Darul Ulum Az Zahra, di sini, hari ini.

Terdahulu, Mohd. Saiful menerusi satu video yang dimuat naik di Facebook Pemuda Pas Sik, tampil memohon maaf atas keterlanjuran katanya itu.

Dalam perkembangan lain, Khairy Jamaluddin turut menyatakan kesediaannya bekerjasama dengan pusat-pusat tahfiz di sekitar Sungai Buloh untuk menganjurkan kelas mengaji secara dalam talian jika beliau dipilih menjadi Ahli Parlimen kawasan tersebut.

Katanya, usaha tersebut seiring dengan perkembangan teknologi semasa yang mana ia merupakan antara aspek utama yang ingin dibawa beliau menerusi Kata Janji Sungai Buloh seperti mana diumumnya dalam manifesto semalam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI