SUNGAI PETANI – Ceramah Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang tidak profesional dan melampau seperti mengeluarkan dalil atau fatwa sendiri boleh memecah-belahkan masyarakat.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kempen ekstrem seperti itu perlu dielakkan kerana pengundi sudah bijak membuat keputusan sendiri.
“Saya ingat tak payah buat fatwa dalil-dalil macam-macamlah dalam musim-musim ini, jadi banyak kali dah cerita pasal dalil ini pun dah jadi sesuatu yang dimomokkan macam-macam.
“Kita pergi secara profesional lawan (PRU). Rakyat ada pemikiran sendiri dan rakyat (tahu) membuat keputusan.
“Kalau rakyat memberi sokongan kepada Barisan Nasional, (BN) ucap terima kasih,” katanya kepada media selepas Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Parlimen Sungai Petani hari ini.
Beliau diminta mengulas kenyataan Ketua Pemuda Pas Sik, Mohd Shahiful Mhd Nasir mengeluarkan hukum masuk neraka jika rakyat mengundi BN pada PRU15.
Mohd Shahiful bagaimanapun kemudian tampil memohon maaf ekoran keterlanjurannya membuat kenyataan menerusi satu rakaman video.
Mahdzir yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar berkata, ketika ini setiap pemimpin parti politik perlu bersederhana semasa berkempen selain yakin dengan penyokong masing-masing.
“Kita tak perlu memecah-belahkan orang,” katanya. – KOSMO! ONLINE