KUALA LUMPUR – Berdasarkan Kajian Rokok Terlarang yang terkini, peratusan rokok terlarang di negara ini telah menurun dari 63.8 peratus pada 2020 kepada 57.3 peratus tahun lalu, sebelum berlegar antara 56 dan 57 peratus tahun ini.
Penurunan ini berlaku melalui dasar dan kawalan yang diperkenalkan oleh Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sepanjang tempoh beliau menjadi Menteri Kewangan.
Pada masa sama, Tengku Zafrul turut melaksanakan Pasukan Petugas Pelbagai Agensi (MATF) untuk memerangi aktiviti penyeludupan dan telah mendapatkan semula RM5 bilion yang dianggarkan hilang daripada hasil dapatan cukai.
Tindakan pihak berkuasa Malaysia kini dicontohi oleh negara lain dalam wilayah ASEAN yang mana pihak kerajaan menumpukan usaha dalam membanteras perdagangan rokok terlarang.
Di Filipina misalnya, Timbalan Senior Ketua Majoriti, Ahli Kongres Sandro Marcos dan Ahli Kongres Margarita Ignacia Nograles mengusulkan rang undang-undang legislatif yang mengklasifikasikan penyeludupan rokok sebagai kesalahan sabotaj ekonomi tanpa ikat jamin, justeru mengundang hukuman lebih berat.
Rang undang-undang akan memberi cengkaman kuasa lebih kukuh buat kerajaan Filipina dalam usaha untuk memerangi penyeludupan rokok, seterusnya memulihkan kembali kerugian hasil dapatan tahunan antara 30 bilion peso (RM2.4 bilion) dan 60 bilion peso (RM4.9 bilion).
Di Malaysia, penyeludupan rokok terlarang telah menyebabkan kerajaan Malaysia kehilangan hasil sebanyak RM5 bilion setiap tahun, jumlah yang sama dengan kos yang membiayai Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan 2021.
Di bawah rang undang-undang 3917 Filipina, penyeludup rokok akan berdepan dengan hukuman penjara sekurang-kurangnya 30 tahun tetapi tidak melebihi 40 tahun tanpa sebarang ikat jamin.
Selain itu, pelaku salah wajib membayar denda dua kali ganda daripada nilai barangan seludup yang dirampas, termasuk duti tidak berbayar dan cukai-cukai lain.
Di Malaysia, Akta Kastam 1967 telah ditambah baik beberapa kali bagi meningkatkan hukuman ke atas penyeludup. Pada 2018 dan 2019, hukuman khusus ke atas penyeludup rokok terlarang telah dinaikkan.
Walaupun diancam hukuman lebih berat, enam daripada 10 kotak rokok yang dijual di Malaysia masih bersifat terlarang.