PETALING JAYA – Laluan transit aliran ringan (LRT) Kelana Jaya berkemungkinan besar dapat kembali kepada pengoperasian normal tidak lama lagi.
Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong berkata, ia susulan sistem isyarat dan komunikasi LRT itu kini dilaporkan berada dalam keadaan baik selepas menjalani pengujian.
“Pagi ini saya telah diberi taklimat tentang pengujian sistem kawalan tren automatik (ATC) oleh pihak Rapid Rail yang bermula pada pukul 11 malam hingga pukul 5 pagi tadi, sambil dipantau oleh Bahagian Perancangan dan Penguatkuasaan Rel APAD.
“Matlamat utama pengujian ini adalah untuk memastikan kestabilan dan keselamatan sistem sebelum meneruskan pengoperasian penuh,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Katanya, pasukan itu telah menggerakkan 24 set tren di sepanjang laluan Putra Heights ke Gombak.
“Hari ini, mereka akan menguji 38 set tren di sepanjang laluan dengan jarak lima minit antara setiap set tren.
“Saya akan terus memantau perkembangan ini termasuklah ketika saya berada di Ayer Hitam. Mudah-mudahan saya dapat membawa berita baik esok,” ujarnya.
Terdahulu, sebanyak 16 stesen LRT dari Stesen Kelana Jaya hingga Stesen Ampang Park digantung operasi selama tujuh hari bermula 9 November hingga 15 November nanti. – KOSMO! ONLINE