KETUA jurulatih skuad hoki lelaki negara, Arul Selvaraj menyifatkan kata-kata semangat dalam bilik persalinan pada masa rehat adalah kunci utama kejayaan mereka menjuarai Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) malam kelmarin.
Tempoh rehat antara suku masa kedua dan ketiga digunakan sebaiknya oleh skuad Malaysian Tigers untuk menewaskan Korea Selatan 3-2 pada aksi final di Stadium Hoki Azlan Shah, Ipoh, Perak.
Keputusan itu secara tidak langsung menamatkan penantian 39 tahun skuad negara untuk mendakap trofi PSAS yang pertama sejak kejohanan tersebut mula dianjurkan pada 1983 di Kuala Lumpur.
“Tiada percakapan mengenai hoki lagi semasa rehat, sebaliknya ia menjadi sesi motivasi kepada pemain. Saya kecewa persembahan mereka pada suku pertama dan kedua.
“Saya beritahu para pemain bahawa penonton datang mahu tengok kita bermain. Mereka tidak kisah basah kuyup sebab hujan.
“Jadi, para pemain perlu lakukan yang terbaik dan memenangi perlawanan itu untuk ribuan penyokong. Saya gembira mereka menyahut cabaran dan bermain mengikut kemampuan sebenar bagi menempah kejayaan ini,” ujarnya.
Kejayaan itu penting kerana ia mampu menjadi pemangkin moral buat pemain bagi menghadapi kempen Piala Negara-Negara FIH di Potchefstroom, Afrika Selatan dari 28 November hingga 4 Disember ini.
“Pemain akan berehat dua hari sebelum kami kembali ke kem latihan sebagai persediaan ke Piala Negara-Negara FIH. Saya berterima kasih kepada semua pemain di atas kejayaan ini,” jelas Arul.
Malaysia yang menghuni ranking ke-10 dunia, meraih tiga gol pada aksi final kelmarin menerusi Shello Silverius, Muhammad Razie Abd. Rahim dan Muhammad Aminuddin Mohd. Zain.
Lebih manis, empat anugerah individu turut menjadi milik Malaysia bermula dengan Razie sebagai pemain terbaik perlawanan akhir dan penjaring terbanyak, Shello (pemain terbaik kejohanan) serta Muhammad Hafizuddin Othman (penjaga gol terbaik).