TEHRAN – Iran membangunkan peluru berpandu baharu yang berupaya melepasi sistem pertahanan udara canggih sekali gus mencetuskan kebimbangan Barat mengenai kemungkinan Perang Dunia Ketiga, lapor akhbar The Sun kelmarin.
Misil hipersonik itu merupakan tambahan baharu kepada barisan senjata milik Tehran seperti yang diumumkan kelmarin.
Komander Pengawal Revolusi unit udara, Jeneral Amir Ali Hajizadeh menggelarnya sebagai ‘lonjakan hebat dalam bidang peluru berpandu’.
“Peluru berpandu balistik hipersonik ini dibangunkan untuk mengatasi perisai pertahanan udara.
“Ia berupaya melepasi semua sistem pertahanan antipeluru berpandu,” kata Amir.
Misil tersebut bukan sekadar berupaya membawa senjata nuklear, bahkan boleh bergerak lima kali ganda lebih laju daripada kelajuan bunyi, lapor stesen penyiaran CBS News.
Tambah Amir, masa beberapa dekad diperlukan untuk membina sistem yang mampu memintas misil tersebut.
“Senjata ini adalah untuk tujuan pertahanan, namun Iran tidak akan berkompromi mengenai pertahanannya,” lapor CBS News sambil menambah, situasi tersebut mencetuskan kebimbangan mengenai peperangan yang boleh meletus.
Teheran mengekalkan hubungan baik dengan Moscow ketika pencerobohan Russia ke atas Ukraine, dengan Pemimpin Tertingginya, Ayatollah Ali Khamanei didakwa menyokong perang tersebut.
Beberapa laporan media turut mendakwa tentera Russia dilatih oleh Iran untuk mengendalikan senjata dron yang boleh membunuh. – Agensi