LONDON – Pengendali England, Gareth Southgate membuat keputusan untuk tidak memanggil beberapa pemain bertaraf bintang pada Piala Dunia Qatar 2022 selepas mengumumkan senarai rasmi 26 pemain kelmarin.
Antara pemain berprofil tinggi diketepikan ialah bintang Manchester United, Jadon Sancho yang menjadi antara pemain termahal Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas berhijrah dari Borussia Dortmund dengan nilai £73 juta (RM395 juta) tahun lalu.
Kegagalan pemain berusia 22 tahun itu mempamerkan prestasi konsisten bersama The Red Devils telah menjadi punca khidmatnya tidak diperlukan skuad Three Lions di Qatar.
Selain itu, nama-nama lain yang turut terlepas untuk mengharungi kejohanan bola sepak paling berprestij itu ialah Fikayo Tomori (AC Milan), Joe Gomez (Liverpool), Ivan Toney (Brentford), James Ward-Prowse (Southampton), Jarrod Bowen (West Ham) dan Tammy Abraham (AS Roma).
Lebih mengejutkan, Southgate masih lagi mempertahankan keputusan untuk memanggil kapten United, Harry Maguire meskipun jarang mendapat minit permainan musim ini.
“Beberapa pertahanan muda telah menunjukkan prestasi yang baik di peringkat kelab.
“Namun, Maguire kekal menjadi salah seorang tonggak terbaik negara ini dan kami membuat pemilihan berdasarkan pengalaman demi kestabilan pasukan nanti,” kata Southgate.