fbpx

Baki jemaah umrah tunggu Imam Mahdi selamat dibawa pulang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Baki kumpulan terakhir seramai 23 orang jemaah umrah terkandas yang selamat tiba dari Jeddah di KLIA tengah hari tadi.

PUTRAJAYA – Seramai 23 lagi jemaah umrah rakyat negara ini yang terkandas di Arab Saudi selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang dekat sini hari ini.

Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, kumpulan itu tiba di KLIA dengan menaiki pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH8023 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz, Jeddah.

“Mereka berlepas pada pukul 11.33 malam semalam (4.33 pagi waktu Malaysia) dan selamat mendarat pukul 1.21 tengah hari tadi,” kata kenyataan itu.

Katanya, kerajaan Malaysia berjaya membawa pulang kesemua 63 jemaah umrah yang terkandas di negara itu sejak Jun lalu.

Kumpulan pertama seramai 36 orang sudah tiba pada 4 November lalu, manakala kumpulan kedua seramai empat orang tiba pada 7 November lalu.

Pada 8 Oktober lalu, Wisma Putra menyelaraskan usaha penghantaran balik kumpulan jemaah umrah dari satu gerakan tarekat yang berpusat di Negeri Sembilan.

Kumpulan itu yang terdiri daripada 28 dewasa dan 35 kanak-kanak itu merupakan pengikut kumpulan Naqsyabandiah Al-Khalidiyyah yang tiba di Arab Saudi pada Mac lalu.

Gerakan itu dipercayai konon merancang untuk menunggu kemunculan Imam Mahdi di Arafah pada hari wukuf lalu, namun hampa apabila langsung tidak dibawa ke Mekah.

Mengulas lebih lanjut, Wisma Putra berkata, penyelarasan turut dilakukan bersama pihak Kedutaan Besar Malaysia di Riyadh dengan kerjasama Konsul Jeneral Malaysia di Jeddah.

“Urusan penghantaran pulang mereka dilaksanakan dengan mematuhi segala peraturan dan undang-undang yang ditetapkan kerajaan Arab Saudi,” ujar kenyataan itu.

Warga Malaysia turut dinasihatkan agar sentiasa mematuhi perundangan negara tuan rumah bagi mengelakkan sebarang kesulitan sepanjang berada di luar negara.- KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI