BEBERAPA minggu lalu, seorang rakan ada menghubungi penulis bagi meminta pandangan berhubung masalah dihadapinya. Ia bukanlah masalah serius, tetapi jika dibiar berlarutan, kemungkinan boleh mengganggu kehidupan pemuda berkenaan.
Rakan penulis itu meluahkan mengenai ‘krisis kehidupan’ dilaluinya ketika ini apabila dia sering berasa kosong terutama jika berada seorang diri di rumah.
Memandangkan dia belum berkahwin, penulis menyifatkan apa dilaluinya sebagai perkara normal ketika menginjak usia usia 30-an, memandangkan ia fasa pertengahan hidup dan sering dikaitkan dengan pelbagai masalah termasuk kesunyian.
Bagaimanapun, tanggapan penulis salah kerana situasi dilalui pemuda itu bukanlah sesuatu yang boleh diambil mudah. Jika perasaan sunyi terus dibiar berlarutan, ia boleh mengundang kepada gangguan kesihatan mental.
Menurut Pegawai Psikologi Bahagian Sumber Manusia, Universiti Sains Malaysia (USM), Firdaus Mansor, perasaan sunyi yang dilalui segelintir individu khususnya pada awal usia 30-an boleh dianggap normal kerana rasa itu bersifat subjektif.
“Ada orang mungkin akan sunyi kerana tinggal jauh daripada keluarga, ada juga orang sunyi kerana tiada kawan-kawan serta mungkin ada juga yang kesunyian kerana tiada pasangan.
“Secara konsepnya, rasa itu lebih bersifat subjektif kerana ia terbina daripada fikiran seseorang itu, mereka yang mengawal apa yang ingin dirasakan sama ada mahu berterusan mengalaminya atau secara sekejap sahaja,” katanya kepada Kosmo!.
Bagaimanapun, katanya, jika perasaan sunyi itu tidak dikawal sebaiknya, ia berupaya mengundang kepada risiko kesihatan lebih teruk termasuk kemurungan.
“Jika perasaan sunyi itu hadir sekejap sahaja, ia masih dianggap normal, tetapi apabila rasa itu berlarutan hingga mengganggu fungsi harian, ia merupakan sesuatu yang serius.
“Mungkin ada individu yang sunyi hingga tidak boleh tidur malam, tidak lalu makan mahupun berasa takut melampau berikutan sering merasakan diri akan sentiasa berseorangan,” jelasnya.
Ujarnya, jika tanda-tanda itu berlaku, individu terlibat perlu mendapatkan rawatan segera daripada kaunselor bagi membantu merawat mereka.
“Saya bimbang, jika terus dibiar berlarutan, ia bukan sahaja memberi kemudaratan kepada kesihatan, malah turut membuka ruang kepada seseorang untuk mengalami masalah kemurungan yang lebih teruk.
“Kemurungan berlaku apabila wujudnya perasaan sedih melampau yang wujud apabila individu terbabit sering merasakan diri sentiasa sunyi, tiada pasangan ataupun kematian keluarga tersayang,” katanya.
Sebelum ini, jumlah pesakit yang menghidap masalah mental termasuk kemurungan dilaporkan meningkat, bukan sahaja di Malaysia, malah global selepas penularan Covid-19.
Dalam pada itu, bilangan pesakit yang mendapatkan rawatan di Jabatan Psikiatri Hospital USM juga dilaporkan meningkat sekali ganda ketika ini selepas penularan Covid-19 sejak dua tahun lalu.
Difahamkan, pada 2020 dan 2021, seramai 2,482 orang termasuk penuntut mendapatkan rawatan awal psikologi dalam tempoh setahun melalui perkhidmatan Talian Sokongan Psikosocial Covid-19 yang ditubuhkan bagi memberikan bantuan dan sokongan kesihatan mental.
Susulan itu, Firdaus menasihati individu yang mempunyai gejala atau berdepan kesunyian melampau untuk segera mendapatkan khidmat nasihat daripada pihak yang berkenaan.