fbpx

Anak usung ibu uzur keluar dari rumah terbakar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota bomba memadam sisa kebakaran di rumah Esah di Kampung Pak Jah Tumpat petang tadi.

TUMPAT – Tindakan pantas seorang lelaki mengusung ibunya yang uzur keluar dari rumah menyelamatkan kedua-dua mereka daripada menjadi mangsa kebakaran petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.45 petang itu, Mohd. Husin Yusof, 43, dan ibunya, Esah Harun, 85, yang tidak dapat berjalan akibat sakit tua terselamat, namun kini mereka tinggal sehelai sepinggang.

Mohd. Husin berkata, sebelum kejadian dia terdengar bunyi letupan kecil pada bahagian ruang tamu rumahnya.

Menurutnya, dia yang berada di dalam bilik bersama ibunya pada awalnya menyangka tiada apa yang berlaku.

“Curiga dengan bunyi itu, saya terus keluar bilik sebelum melihat api yang sudah marak membakar bahagian dinding rumah.

“Saya terus mengusung ibu membawanya keluar ke tempat selamat dengan dibantu oleh dua orang cicit ibu yang tinggal berhampiran rumah,” katanya ditemui Kosmo! di lokasi kejadian.

Menurut Mohd.Husin, meskipun rumah dan sebuah motosikalnya hangus, dia bersyukur kerana ibunya selamat dalam kebakaran itu.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tumpat, Mohd. Rafain Mat Zin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 3.59 petang.

Kata beliau, seramai 15 anggota Balai Bomba dan Penyelamat Tumpat dan Wakaf Bharu di sini bergegas ke lokasi kejadian.

Menurutnya, kebakaran berjaya dikawal pada pukul 4.27 petang dan rumah mangsa musnah kira-kira 95 peratus.

“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI