fbpx

30 buah lagu layak bertanding di SFMM37

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BARISAN artis popular yang akan bertanding di pentas SFMM37 antaranya Ernie Zakri, Aina Abdul, Amir Masdi, Naim Daniel dan Shila Amzah.

PETALING JAYA – Sebanyak 30 buah lagu diumumkan layak bertanding di peringkat Separuh Akhir Muzik-Muzik ke-37 (SFMM37) yang akan berlangsung selama dua hari pada 25 dan 26 November ini.

Sebanyak 18 buah lagu dipertandingkan pada hari pertama dan baki 12 buah lagi lagu lain akan dibawa ke hari kedua.

Menurut Penerbit Eksekutif SFMM37, Jamil Hassan, industri muzik tempatan kian berkembang dengan kepelbagaian genre sekali gus menyaksikan lebih banyak penyertaan dihantar berbanding sebelum ini.

“Ada peningkatan dalam jumlah lagu dengan genre berbeza yang kami terima.

“Industri muzik Malaysia telah berkembang pesat sewaktu pandemik dengan menyaksikan pengkarya lebih aktif pada musim kali ini,” ujarnya pada sidang akhbar pengumuman SFMM37 di Nero Event Space, PJ PAC One Utama, Damansara Utama semalam.

Pertandingan SFMM37 menyaksikan buat pertama kalinya penyanyi bersuara lunak, Amir Masdi mendominasi dengan dua buah lagu nyanyiannya iaitu Esok dan Debu (duet dengan Dayang Nurfaizah).

Karya Esok merupakan hasil ciptaan Amir sendiri bersama Shazee Ishak dan Audi Mok, manakala komposer Debu ialah Mas Dewangga, Jova Devito, Firdaus Rahmat, Mike Chan, Karim Karam dan Acap Salim.

SEBANYAK 30 buah lagu pelbagai genre berjaya membolosi Separuh Akhir Muzik-Muzik ke-37 (SFMM37) yang akan berlangsung selama dua hari pada 25 dan 26 November ini.

Selain itu, beberapa artis lain turut layak bertanding antaranya Ernie Zakri dan Hafiz Suip (Berakhirlah Pencarianku ciptaan Ikhwan Fatanna dan Wan Saleh serta lirik oleh Datuk A. Aida).

Kedua-dua penyanyi itu juga layak bertanding dengan lagu solo masing-masing iaitu Ernie (Korban hasil karyanya sendiri) serta Hafiz (Takhluk Cinta ciptaan Firdaus Rahmat, Iqie Hugh, dan John Jeves).

Penyanyi rap popular, Joe Flizzow tercalon dengan Satu Malam Di Temasek (ciptaan Joe dan SonaOne), serta Habis Sini (duet dengan Naim Daniel ciptaa Naim, Joe, SonaOne, Mas Dewanggadan Firdaus Rahmat).

Naim juga turut bertanding menerusi lagu solo iaitu Mainan karya Firdaus Rahmat, Omar K dan Mas Dewanga.

Pentas SFMM37 turut menyaksikan Shila Amzah membawakan Khilaf Asmara (ciptaan Amylea) dan Bahagiakan Dia (bergandingan dengan Liza Hanim) hasil karya Aliff Iskandar dan Que Afiq, sementara Khai Bahar pula menerusi lagu Sengsara (ciptaan John Jeeves, Firdaus Rahmat dan Omar K).

Artis lain yang layak beraksi di SFMM37 ialah Alif Satar & The Locos (Anugerah Terindah ciptaan Alif, Romeo, Tam Cobain dan Efry Arwis), Dolla (Berani karya John Jeeves dan Firdaus Rahmat), Naqiu (Kisah Lara Hati ciptaannya sendiri dan Johan John).

Selebihnya menyaksikan Yonnyboii, Zynakal dan Asyraf Nasir (Tak Sangka karya penyanyi asal), Indah Ruhaila (Demi Kamu komposer Johan John) dan Iman Troye (Nang ciptaan Ezra Kong dan A. Ramle).

Turut serta, Siti Nordiana (Cukup Derita Itu hasil karya Tam Spider), Jaclyn Victor (Perempuan oleh Johan John), Ara Johari (Sumpahan Salju ciptaan Ziin) dan karya ciptaan sendiri Payung Pelangi oleh Noki dan MK.

Kumpulan yang sedang meningkat naik Imsomniack turut menyertai barisan menerusi lagu Sempurna (karya penyanyi asal), Marsha (Kembali Terang hasil ciptaan Senna & Ajin), Hael Husaini (Sama Seperti Dulu oleh Hael dan Iqie Hugh) dan Shiha Zikir (Irama komposer Iqie Hugh, Firdaus Rahmat dan John Jeeves).

Sementara Hazama, Kmy Kmo dan Luca Sickta (Makuta ciptaan Kmy Kmo dan Luca Sickta), Floor 88 (24434 ciptaan Zai Hamzah), Haqiem Rusli dengan karya sendiri (Hitam Saksi Putih), dan Aina Abdul dengan ciptaannya Terus Hidup.

Edisi SFMM37 menyaksikan Datuk Mokhzani Ismail masih mengekalkan kedudukan sebagai juri tetap bagi mengadili kesemua lagu yang dipertandingkan.

Rancangan tersebut yang diadakan di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, Selangor akan dikendalikan oleh hos baharu iaitu Muaz Mohamed dan Izzue Islam.

Terdahulu, Shila Amzah dan SOG muncul sebagai juara pada edisi Juara Lagu ke36 (AJL36) menerusi lagu Pelukan Angkasa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI