fbpx

3 juta belia Amerika Syarikat guna produk tembakau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENGGUNAAN rokok elektronik dan cerut mengatasi rokok tembakau. - 1503849/Pixabay

WASHINGTON – Kira-kira 3 juta pelajar sekolah menengah dan sekolah tinggi di seluruh Amerika Syarikat (AS) menggunakan satu produk tembakau dalam tempoh 30 hari semasa kajian peringkat nasional mengenai perkara itu dijalankan dari Januari hingga Mei lalu. 

Agensi berita United press International (UPI) melaporkan kelmarin bahawa kajian itu mendapati rokok elektronik dan cerut berperisa mengatasi penggunaan rokok biasa di AS. 

Pasukan penyelidik menganalisis data Kaji Selidik Tembakau Belia Kebangsaan 2022 untuk membuat anggaran tersebut. Hasil kajian itu diterbitkan bersama oleh Pentadbiran Makanan dan Ubat (FDA) serta Pusat Kawalan dan Pencegahan Pe­nyakit (CDC). Ia disiarkan dalam Laporan Mingguan Morbiditi dan Kematian CDC kelmarin.

Pegawai-pegawai kesihatan Persekutuan berkata, data tersebut menyaksikan penggunaan produk tembakau komersial te­rus mengancam kesihatan belia AS.

Menurut kajian itu, seramai 2.51 juta atau 16.5 peratus pelajar sekolah tinggi dan 530,000 atau 4.5 peratus pelajar menengah rendah menggunakan produk tembakau pada tahun ini di seluruh AS.

Kumpulan lain dengan peratusan penggunaan produk tembakau tinggi adalah kanak-kanak yang mendapat gred rendah di sekolah (27.2 peratus), pelajar yang mengalami gejala tekanan psikologi teruk (18.3 peratus), golongan transgender lesbian, gay atau biseksual (16.6  peratus) serta pelajar miskin (12.5 peratus).

“Fakta bahawa 3 juta kanak-kanak menggunakan sekurang-kurangnya satu produk tem­­bakau adalah sangat membimbangkan, memandangkan penggunaan ter­tinggi itu berlaku dalam kala­ngan remaja yang menjadi sasaran syarikat tembakau,” kata ke­tua pelobi Persa­tuan Paru-Paru Amerika bagi isu tembakau dan penjagaan kesihatan berpang­kalan di Washington, Erika Sword.

Persatuan itu berkata, perubahan dalam metodologi kajian apabila kanak-kanak kembali ke sekolah setelah berada di rumah akibat pendemik Covid-19, menyukarkan perbandingan untuk tahun 2022 berbanding anggaran nasional pada tahun-tahun sebelumnya. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI