fbpx

Zuckerberg minta maaf, terpaksa pecat lebih 11,000 pekerja Meta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zuckerberg dilihat dalam telefon pintar ketika mendedahkan logo Meta pada 28 Oktober 2021. - AFP

MENLO PARK, CALIFORNIA – Syarikat induk Facebook, Meta Inc. (Meta) mengikuti langkah gergasi teknologi seperti Twitter dan Microsoft dengan mengumumkan pemberhentian pekerja secara besar-besaran, lapor laman berita Wion News kelmarin.

Ketua Pegawai Eksekutif Meta, Mark Zuckerberg berkata, syarikat itu akan memecat lebih 11,000 pekerja berikutan penurunan pendapatan yang teruk.

“Hari ini (kelmarin) saya berkongsi perubahan paling sukar yang kami lakukan dalam sejarah Meta. Saya memutuskan untuk mengurangkan saiz pasukan kami sebanyak kira-kira 13 peratus dan memecat lebih 11,000 pekerja berbakat.

“Kami juga mengambil langkah tambahan untuk menjadi syarikat lebih cekap termasuk mengurangkan perbelanjaan dan melanjutkan pembekuan pengambilan pekerja sehingga suku pertama 2023,” kata Zuckerberg dalam laman  blognya.

Menurut saluran televisyen CNBC, pekerja-pekerja terbabit akan menerima gaji asas kerana diberhentikan dan Meta akan membayar kos penjagaan kesihatan mereka selama enam bulan.

Zuckerberg juga memohon maaf kepada mereka dan berkata: “Saya mahu bertanggungjawab atas keputusan yang dibuat.”

Pengumuman itu dibuat selepas langkah serupa dilaksanakan oleh Twitter apabila pemilik baharu syarikat itu, Elon Musk berusaha memulihkan platform media sosial berkenaan.

Keputusan itu akan menyaksikan pemotongan belanjawan pertama dalam sejarah Facebook dan menurut pakar-pakar, sebab utamanya berpunca daripada kegagalan projek Metaverse.

Selain pemberhentian pekerja, Meta juga melanjutkan pembekuan pengambilan pekerja yang dilakukan sejak 23 Mac lalu dalam usaha untuk ‘menjadi organisasi lebih ramping’.

Ekonomi global yang terjejas teruk selepas pandemik Covid-19  juga dipetik Zuckerberg sebagai punca untuk melaksanakan ‘keputusan sukar’ itu. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI