KUMPULAN Voice of Euphonious atau nama popular mereka, V.E bukan lagi asing dalam industri muzik Malaysia.
Bagaikan satu langkah permulaan baharu, V.E bersama tiga orang ahli keluarga terkini mengeluarkan single Tunggu yang disuntik dengan konsep mid tempo tetapi masih mengekalkan elemen old school.
“Kami berempat ternampak video penyanyi popular antarabangsa Adele yang memilih menghasilkan lagu mengikut generasi berusia 30-an, bukannya ikut stail lagu dalam TikTok.
“Pada masa yang sama, kami juga terjumpa video seorang lagi penyanyi popular iaitu Bruno Mars. Kemudian kami adaptasi caranya yang menunjukkan kelainan.
“Hasilnya, kami sepakat mengubah lagu lama dengan suntikan elemen muzik organik,” ujar Adeep.
Sementara itu, V.E menegaskan, reformasi dengan barisan anggota baharu dalam kumpulan menjadikan mereka bukan lagi V.E yang dahulu.
“V.E yang baharu lebih menerapkan kematangan dalam penghasilan lagu dengan pengalaman yang telah dilalui.
“Kami fokus terhadap penciptaan lagu yang lebih spektrum berkaitan dengan kehidupan dan pengalaman,” ujar Adeep lagi.
Kumpulan itu kini meneruskan kemaraan dalam industri muzik dengan dibarisi Luqman Hakim, Fakhriz, Adeep Nahar dan ahli asal kumpulan itu, Cham.
Bagaimanapun jelas Adeep, Fakhriz tidak terlibat dalam single Tunggu kerana dia merupakan ahli baharu yang dipanggil menyertai mereka bersaing di pentas Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9).
Rezeki
Kembali berbicara tentang Tunggu, Adeep atau nama sebenarnya Abdul Mutalib Nahar berkata, susunan semula muzik lagu tersebut dibuat hasil perbualan bersama Rafikoncept iaitu Khairafik Khairudin.
Khairafik merupakan individu yang bertanggungjawab atas susunan muzik semasa persembahan V.E di GV9.
Lagu berkenaan dicipta sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila semua orang berdepan kesukaran bertemu insan tersayang.
Kumpulan itu mencipta lagu tersebut atas atas kerinduan kerana tidak dapat bertemu ibu tercinta.
Sementara itu menyentuh mengenai penglibatan mereka dalam GV9, V.E mendedahkan mereka sebenarnya sudah beberapa kali ditawarkan menyertai pertandingan tersebut.
Selepas mendapat dorongan daripada ahli lain, Adeep menerima peluang yang hadir kerana melihat program tersebut sebagai satu platform untuk memperkenalkan V.E baharu kepada peminat.
“Saya bersetuju menyertai GV9 kerana V.E sudah lengkap. Kumpulan kami baru berusia dua minggu sebelum GV9 bermula selepas kehadiran Fakhiz yang melengkapi barisan ini.
“Mungkin ini merupakan sebahagian dari rezeki. Janji kami hanyalah untuk melakukan sehabis baik setiap minggu kerana program ini adalah langkah permulaan bagi kami,” jelasnya.
Sempat menyelit, Cham menjawab kontroversi berkenaan isu perbandingan V.E lama dan baharu.
“Saya tidak suka melihat media sosial tapi ada orang sampaikan cerita ini. Semua orang boleh cakap apa yang mereka mahu.
“Saya ambil perkara ini sebagai pembakar semangat ke arah positif walaupun ada unsur-unsur negatif,” tutup Cham.