fbpx

PRU15: #KataJanjiSungaiBuloh bukan saudagar mimpi bulan bintang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Khairy Jamaluddin (tengah) beramah mesra dengan ibu bapa yang menjemput anak-anak mereka di hadapan SK Seksyen 11 Kota Damansara tengah hari tadi.

PETALING JAYA – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyasarkan empat fokus utama untuk membangunkan Sungai Buloh meliputi aspek sejahtera, digital, sihat dan lestari menerusi manifestonya berdepan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Khairy Jamaluddin dalam satu perkongsian video di Twitternya sebentar tadi memaklumkan #KataJanjiSungaBuloh merupakan slogannya dalam membela nasib penduduk di Sungai Buloh.

“Ia merupakan satu iltizam dan janji saya kepada tuan-tuan dan puan-puan (penduduk Sungi Buloh) sekiranya saya dipilih di hari pengundian pada minggu hadapan.

“Bertemakan Kita Jaga Sungai Buloh, Kita Jaya Malaysia, manifesto saya ini mengandungi empat teras utama iaitu Sejahtera Sungai Buloh, Digital Sungai Buloh, Sihat Sungai Buloh dan Lestari Sungai Buloh.

“Saya ini bukanlah saudagar mimpi yang menjanjikan bulan dan bintang, tetapi kesemua pengisian ini dibentuk bersandarkan pengalaman saya sebagai Ahli Parlimen selama tiga penggal di Rembau serta pernah menerajui tiga kementerian sebelum ini,” katanya.

Menurut Penyandang kerusi Parlimena Rembau itu, beliau yakin empat aspek yang dipertaruhkan itu adalah sesuatu yang mampu dilakukan sebagai Ahli Parlimen Sungai Buloh.

“Saya percaya semua isi kandungan manifesto saya ini mampu dilaksana dan dicapai.

“Perincian lanjut mengenai empat teras utama Kata Janji Sungai Buloh akan saya huraikan dalam video-video akan datang,” ujarnya.

Beliau juga mengharapkan sokongan penuh daripada pengundi Sungai Buloh dalam memberi kepercayaan terhadapnya untuk menjadi wakil membawa suara penduduk di sini.

“Saya amat harapkan sokongan semua pengundi Sungai Buloh, Kata Janji Sungai Buloh ini adalah tekad dan komitmen saya kepada pengundi Sungai Buloh sekiranya diberi peluang sebagai Ahli Parlimen di sini.

“Saya akan berusaha sepenuh daya bagi membalas kepercayaan seluruh pengundi,” katanya.

Dalam pada itu, Parlimen Sungai Buloh bakal menyaksikan pertandingan tujuh penjuru melibatkan Khairy Jamaluddin (BN), Datuk R. Ramanan (Pakatan Harapan), Mohd. Ghazali Md. Hamin (Perikatan Nasional), Mohd. Akmal Mohd. Yusof (Pejuang), Ahmad Jufliz Faiza (Parti Rakyat Malaysia) dan Nurhaslinda Basri serta Syed Abdul Razak Syed Long Alsagof masing-masing calon Bebas. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI