fbpx

PRU15: Calon BN tidak patah semangat walau diperas ugut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MAZLAN menunjukkan mesej ugutan yang diterimanya ketika ditemui pemberita di Bandar Baru Tambun, Ipoh hari ini.

IPOH – Walaupun diperas ugut, calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kinta, Datuk Mazlan Abd. Rahman tidak patah semangat untuk meneruskan kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurutnya, beliau sama sekali tidak gentar dengan ugutan itu meskipun ia merupakan cubaan untuk menyerang peribadinya.

“Sepanjang berkempen, saya tidak pernah kacau orang dan menyentuh peribadi sesiapa termasuk calon-calon yang bertanding.

“Saya berkawan dengan semua, malah jika jumpa calon atau penyokong parti lawan, kami berpelukan. Masyarakat di sini juga mengenali saya melalui kerja dan perkhidmatan.

“Saya berjuang dalam politik hampir 28 tahun dan melalui banyak proses termasuk dilemparkan pelbagai fitnah. Ugutan ini tidak akan mematahkan semangat saya terus berjuang untuk rakyat,” katanya ketika ditemui di Bandar Baru Tambun di sini hari ini.

Menurut Naib Ketua UMNO Bahagian Tambun itu, dia menerima mesej ugutan menerusi WhatsApp sebanyak dua kali pada Selasa dan semalam yang memintanya membayar RM300,000.

Katanya, jika wang itu tidak diberikan, suspek akan menyebarkan surat layang dan risalah kononnya berkaitan isu peribadinya di media sosial.

“Saya tidak tahu apa motif individu itu mengugut saya. Jika mahu saya bayar RM300,000, saya memang tiada duit.

“Saya pun tidak tahu mesej itu daripada siapa dan tidak mahu menuduh. Biarlah polis jalankan siasatan dan saya telah rujuk kepada peguam untuk tindakan lanjut,” katanya yang membuat laporan berkaitan perkara itu di Balai Polis Tambun semalam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI