fbpx

Banjir buruk di Taman Sri Muda ketentuan Tuhan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan banjir di Taman Sri Muda hujung tahun lalu.

SHAH ALAM – Kerajaan dan lima yang lain menyifatkan kejadian banjir buruk yang melanda Taman Sri Muda di sini pada Disember tahun lalu adalah disebabkan di luar kawalan manusia selain ia adalah ‘ketentuan Tuhan’ (act of God).

Berdasarkan dokumen yang diperoleh, kerajaan dan lima yang lain dinamakan sebagai defendan dalam tindakan undang-undang oleh 50 penduduk taman itu turut mendakwa, banjir berkenaan disebabkan hujan lebat berterusan secara menyeluruh di Selangor, Wilayah Persekutuan , Negeri Sembilan, Melaka, Kelantan, Terengganu dan Pahang.

Semua defendan berkata, hujan lebat ketika kejadian dipengaruhi oleh ketibaan Taufan Rai, luruan monsun dan sistem tekanan rendah di Laut China Selatan yang bergerak memasuki Semenanjung melalui Pahang dan merentasi tengah Semenanjung menuju ke Selat Melaka.

“Ia adalah keadaan di luar kawalan manusia…Pada masa yang sama, berlaku fenomena air pasang besar bermula pada 16 hingga 23 Disember tahun lalu menyebabkan aras air Sungai Klang tinggi kerana kemasukan air pasang ke dalam sungai.

“Pada 30 September 2021, MetMalaysia mengeluarkan tinjauan cuaca bagi Oktober 2021 hingga Mac 2022 dan berdasarkan rekod pencerapan hujan bulanan di semenanjung pada Disember 2021, hujan bulanan bagi Selangor adalah di antara 250-700 milimeter iaitu masih dalam julat yang dijangkakan di dalam tempoh itu, iaitu 50-850 milimeter.

“MetMalaysia sudah mengeluarkan 18 amaran hujan berterusan di negeri di semenanjung bagi tempoh 11 hingga 19 Disember 2021 yang mana sembilan daripadanya amaran cuaca di Selangor khasnya untuk tempoh 17 hingga 19 Disember iaitu dua amaran ribut petir dan sembilan amaran hujan berterusan,” kata defendan.

Demikian yang dinyatakan kerajaan dan lima lain ketika menjawab saman kecuaian yang difailkan terhadap mereka oleh 50 penduduk kawasan taman itu.

Selain kerajaan, lima defendan lain yang memfailkan pembelaan mereka bertarikh 7 September lalu adalah Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA); Menteri diJabatan Perdana Menteri; Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia); Menteri Alam Sekitar dan Air; Ketua Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Sementara itu dalam pembelaan lain, defendan turut berkata, NADMA seawal 2 November 2021 sudah mengemukakan surat kepada semua Pengerusi Jabatan Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) yang memohon pengaktifan Pusat Kawalan Operasi Bencana Negeri dan Daerah termasuk negeri Selangor sejurus pengumuman MetMalaysia mengenai permulaan monsun Timur Laut yang bermula pada 3 November dan berterusan sehingga Mac 2022.

Katanya, pada 17 Disember 2021 berdasarkan pengemaskinian amaran cuaca oleh MetMalaysia, NADMA mengeluarkan Notis Kesiapsiagaan Operasi Bencana kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM), Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Terdahulu dalam saman kecuaian yang difailkan pada Jun lalu, 50 penduduk taman itu selaku plaintif, menuntut ganti rugi khas RM3.8 juta, kerana dakwa NADMA gagal melaksanakan pengurusan bencana alam dengan berkesan manakala MetMalaysia pula gagal mengemaskini secara efektif dan tepat cuaca semasa yang melanda Taman Sri Muda sehingga mengakibatkan banjir buruk itu berlaku.

JPS pula didakwa secara salah membenarkan sistem perparitan Taman Sri Muda menjadi terlebih muatan dan gagal memastikan pematuhan syarat pengurusan ribut sebelum memberikan kelulusan untuk projek pembangunan baharu di dalam atau sekitar kawasan itu.

Ia juga didakwa gagal membaiki dan menggantikan pam air yang rosak untuk memintas pintu pasang surut dan menolak air masuk ke dalam Sungai Klang.

Pengurusan kes saman berkenaan kemudian ditetapkan pada 29 November ini di Mahkamah Tinggi Shah Alam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI