PETALING JAYA- Siapa sangka hanya dengan membeli barang, tiga orang bertuah berjaya membawa balik sebuah kereta setiap seorang sempena ulang tahun ke-54 Kumpulan The Store.
Pemenang utama Proton Exora, Chee Yen Fong, 62, manakala pemenang Proton Saga adalah Neezar Ahamed Mohamed Mydin, 46, dan Nur Aqeela Ahmad Dziauddin, 33, berjaya membawa balik hadiah berkenaan selepas menyertai Peraduan Sambutan Ulang Tahun ke-54 Kumpulan The Store-Ganjaran Bonanza.
Pengurus Besar Kumpulan The Store (Bahagian Operasi dan Pasaraya), Yap Choon Meng, berkata, peraduan yang berlangsung dari 26 Mei hingga 18 September lalu itu telah menerima lebih 200,000 borang penyertaan.
“Sejumlah hadiah bernilai RM500,000 boleh dimenangi oleh semua pelanggan yang membelanjakan RM50 dalam satu resit di Pasar Raya The Store, Pasar Raya Besar dan Gedung Serbaneka Pacific semasa tempoh peraduan.
“Diantara 13 orang pemenang bertuah, tiga daripadanya berjaya membawa balik sebuah kereta manakala 10 daripadanya memenangi baucar hadiah bernilai RM500 setiap seorang,” katanya dalam Majlis Penyampaian Hadiah Ulang Tahun ke-54 Kumpulan The Store disini, hari ini.
Salah seorang pemenang bertuah yang membawa balik sebuah Proton Saga, Nur Aqeela Ahmad Dziauddin, 33, berkata, dia menganggap hadiah tersebut merupakan rezeki anak yang sarat dikandungnya.
“Pada mulanya, saya cuba nasib sahaja semasa memasukkan resit dalam kotak peraduan tapi tidak sangka nama saya akhirnya terpilih sebagai salah seorang pemenang kereta.
“Saya suka membeli-belah dekat The Store sebab semuanya ada di bawah satu bumbung dan mereka juga menyediakan kemudahan meletakkan kenderaan yang banyak untuk pelanggan,” kata Aqeela yang juga bekerja sebagai setiausaha di sebuah syarikat tempatan.
Kumpulan The Store telah ditubuhkan pada 1968 dan mempunyai lebih 50 cawangan di seluruh Malaysia termasuklah Gedung Serbaneka Pacific, Pasaraya Milimewa dan Pasaraya Superjimat. – KOSMO! ONLINE