COLOMBO – Berpuluh-puluh syarikat milik kerajaan Sri Lanka yang menggaji puluhan ribu pekerja berdepan penutupan operasi atau penstrukturan semula sebagai sebahagian daripada langkah menyelamatkan negara muflis itu yang dilaksanakan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).
Syarikat penerbangan milik negara, SriLankan Airlines mendahului senarai tersebut berikutan keadaan kewangannya yang paling teruk serta belanjawan syarikat yang telah dihabiskan seterusnya memburukkan krisis kewangan terburuk dalam sejarah negara itu.
Menurut data perbendaharaan, syarikat dengan seramai 6,000 kakitangan itu kerugian AS$4.50 (RM18.86) bagi setiap dolar yang diraih pada permulaan tahun ini.
Ia tidak pernah mencatatkan keuntungan sejak 2008 apabila Ketua Pegawai Eksekutifnya disingkir daripada jawatan selepas memalukan pemimpin Sri Lanka ketika itu.
“Mereka yang tidak pernah menaiki pesawat SriLankan Airlines pun perlu membayar subsidi kepada syarikat tersebut.
“Kita tidak boleh berterusan begini,” kata jurucakap kerajaan, Manusha Nanayakkara kepada pemberita bulan ini.
Colombo gagal membayar hutang asingnya berjumlah AS$51 bilion (RM240 bilion) April lalu dan kini berada dalam proses yang sukar untuk berunding mengenai obligasinya kepada pemiutang.
IMF telah memberikan kelulusan awal bagi bantuan dana sebanyak AS$2.9 bilion (RM13.67 bilion) dengan syarat-syarat perjanjian yang belum didedahkan.
Namun, bantuan IMF kebiasaannya memiliki syarat ketat dan melibatkan beberapa langkah ‘sukar’ seperti kenaikan cukai, penghapusan subsidi pengguna dan menswastakan atau menutup syarikat-syarikat milik kerajaan yang rugi.
Sementara itu, bekas menteri kewangan, Eran Wickramaratne berkata, sekiranya pihak berkuasa tidak dapat mencari pelabur, syarikat penerbangan itu perlu dihentikan operasinya buat selamanya sebelum berterusan menjadi bebanan kepada rakyat.
“Kita adalah sebuah negara yang bankrup. Kita tidak dapat membayar hutang negara dan itu adalah realitinya,” ujarnya. – AFP