SUNGAI BULOH – “Saya berada dalam parti yang tepat.”
Demikian jawapan balas calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin Abu Bakar apabila disoal mengenai kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengatakan beliau berada dalam parti salah ketika ini.
Katanya, meskipun berbeza parti dengan bekas Perdana Menteri itu, Khairy Jamaluddin tetap berterima kasih kepada Muhyiddin kerana memuji kemampuan beliau semasa menjadi Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi di bawah pimpinan PN.
“Terima kasih kepada Tan Sri Muhyiddin telah memberi komen yang baik berkenaan mutu kerja saya dan saya telah bekerja kuat sewaktu beliau melantik saya sebagai menteri penyelaras program imunisasi.
“Beliau tahu apa yang saya mampu lakukan dan etika kerja, tetapi soal parti ini kita kena bersetuju atau tidak bersetuju, dia PN, saya BN,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Terdahulu, Khairy Jamaluddin dalam ceramah kempen beliau di Saujana Utama di sini meluahkan hasrta beliau yang ingin menjadi Perdana Menteri suatu hari nanti.
Semalam, Muhyiddin memaklumkan tidak salah sekiranya Khairy Jamaluddin bercita-cita menjadi Perdana Menteri kerana beliau merupakan tokoh yang bagus untuk memimpin negara pada masa hadapan. – KOSMO! ONLINE