JOHOR BAHRU – Proses meremajakan UMNO dan Barisan Nasional (BN) khususnya dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini berjaya membuahkan hasil positif apabila masyarakat termasuk golongan muda dilihat semakin mesra BN.
Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, perkara itu dapat dilihat menerusi kempen yang dijalankan pihaknya selaku calon BN bagi kerusi Parlimen Pulai.
Menurut beliau, Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor sebelum ini telah buktikan usaha itu apabila UMNO dan BN berjaya menubuhkan kerajaan negeri baharu dan juga melantik Menteri Besar dalam kalangan orang muda.
“Hasrat dan harapan orang muda adalah agar kerajaan tunjuk jalan bantu mereka capai masa depan lebih-lebih lagi selepas kecelaruan politik sejak 2018 lalu.
“Mungkin orang muda masih belum lagi buat keputusan, tetapi kerana mereka nak masa depan lebih baik jadi mereka boleh pertimbangkan BN, undi kami dalam PRU15,” katanya kepada pemberita selepas berkempen di Skudai Kiri di sini hari ini.
Tambah Nur Jazlan, proses meremajakan UMNO dan BN akan terbukti sekali lagi pada 19 November ini apabila rakyat Malaysia termasuk orang muda memberikan sokongan dan kepercayaan kepada BN untuk kembali mentadbir.
“Ini kerana jika dilihat, BN adalah parti politik yang paling ramai meletakkan calon baharu dan muda, disamping calon senior yang benar-benar serius dan komited dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat.
“Proses itu telah berlaku dengan lancar di Johor, kini langkah seterusnya adalah dengan memastikan proses sama turut berlaku di peringkat pusat pasca PRU15 ini.
“Adalah penting untuk rakyat memastikan kerajaan negeri dan kerajaan pusat ditadbir oleh kerajaan yang sama bagi membolehkan segala perancangan dan pembangunan yang telah dirancang dilaksanakan dengan jayanya,” jelasnya.-KOSMO! ONLINE