ALOR SETAR – Seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun maut selepas dipercayai terjatuh di bangunan sebuah sekolah di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, kejadian pada pukul 7.30 pagi itu berlaku ketika pelajar lain berada di tapak perhimpunan.
“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati bangunan sekolah setinggi empat tingkat itu menempatkan perpustakaan di aras bawah dan kelas bagi tingkatan enam di tingkat tiga.
“Sementara tingkat dua dan empat bangunan itu kosong. Menurut saksi, ketika kejadian keseluruhan bangunan itu tidak berpenghuni kerana pelajar menghadiri perhimpunan,” katanya di sini hari ini.
Ahmad Shukri memberitahu, mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah di sini untuk dibedah siasat.
“Punca kejadian masih dalam siasatan. Setakat ini kes diklasifikasi sebagai mati mengejut,” katanya. – KOSMO! ONLINE