fbpx

Pecco jelmakan impian Ducati

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

PERLUMBAAN Grand Prix Valencia di Litar Ricardo Tormo Ahad lalu menjadi aksi penutup saingan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) bagi musim 2022 yang penuh dengan warna-warni dan debaran.

Pada saingan itu juga, pelumba Ducati, Francesco ‘Pecco’ Bagnaia telah sah dinobatkan sebagai juara dunia musim ini dengan merampas gelaran tersebut daripada pelumba Monster Energy Yamaha, Fabio Quartararo.

Perjalanan Pecco menuju puncak dunia cukup menarik, malah tidak ada sesiapa yang menyangka pelumba kelahiran Turin, Itali ini mampu mencapai kejayaan berkenaan selepas dia ketinggalan 91 mata berbanding Quartararo pada cuti rehat musim panas lalu.

Kejayaan mengutip 265 mata menerusi tujuh kemenangan GP, manakala tiga lagi kedudukan podium membolehkan Pecco berjaya mengecewakan Quartararo yang ketinggalan 18 mata sekali gus menyaksikannya gagal mempertahankan gelaran di menangi musim lalu.

Musim ini menyaksikan Pecco tidak bermula dengan baik apabila terlibat dalam kemalangan di Qatar selain berdepan kesukaran pada GP Indonesia di Lombok, malah dalam lima perlumbaan awal termasuk di GP Argentina, Amerika Syarikat dan Portugal dia langsung tidak menyerlah.

Namun, dia kemudiannya bangkit di Jerez pada GP Sepanyol dengan muncul juara sebelum terjatuh di Le Mans untuk GP Perancis dan kembali bangkit menawan Litar Mugello pada GP Itali.

Bagaimanapun, langit tidak selalu cerah, Pecco gagal dalam dua perlumbaan selepas itu di GP Catalunya, Barcelona dan GP Jerman di Sachsenring menyebabkan dia ketinggalan jauh berbanding Quartararo yang mula menguasai perlumbaan sebelum saingan berhenti rehat seketika.

Sekembali daripada cuti musim panas, Pecco seakan mendapat tonik baharu apabila menawan empat perlumba di Assen, Silverstone, Austria dan Misano berturut-turut sebelum meraih tempat kedua di Aragon, namun gagal meraih mata di Motegi akibat terjatuh.

Bagaimanapun, empat perlumbaan terakhir benar-benar memberikan tuah buat Pecco apabila meraih podium ketiga di GP Thailand dan Australia ketika pencabarnya, Quartararo gagal meraih sebarang mata dalam kedua-dua perlumbaan.

Pada dua pusingan terakhir di Sepang, Pecco semakin membuktikan keinginannya untuk memburu gelaran apabila menawan GP Malaysia hampir dinobatkan juara jika Quartararo berada di kedudukan keempat dan ke bawah, namun pelumba Perancis itu mengakhiri saingan di podium ketiga menyebabkan impiannya tertunda.

Aksi terakhir di Litar Ricardo Tormo itu hanya memerlukan Pecco kekal dalam saingan sepanjang 25 pusingan dan mengelak daripada menamatkan saingan di kedudukan ke-14 dan ke bawah menyaksikan dia menamatkan perlumbaan di tangga ke sembilan dan merangkul gelaran tersebut.

Kejayaan itu sekali gus menamatkan penantian 15 tahun Ducati selepas kali terakhir memenanginya menerusi Casey Stoner pada 2007, selain menjadi pelumba Itali kedua selepas Giacomo Agostini (1972) yang merangkul gelaran juara dunia bersama jentera buatan Itali.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI