BEIJING – Kelompok terkaya di China menyaksikan nilai kekayaan mereka merosot pada tahap paling tinggi dalam tempoh lebih dua dekad, tahun ini, lapor stesen penyiaran CNN kelmarin.
Kemerosotan itu didorong oleh konflik peperangan di Ukraine, dasar sifar Covid yang dilaksanakan Beijing serta kejatuhan pasaran saham Tanah Besar dan Hong Kong, demikian menurut satu senarai kekayaan tahunan.
Menurut Senarai Kaya Hurun, satu indeks yang menyenaraikan individu terkaya di China dengan nilai kekayaan bersih minimum AS$692 juta (RM3.26 bilion), hanya 1,305 orang mencapai tahap itu pada tahun ini. Angka tersebut turun 11 peratus berbanding tahun lalu.
Bilangan individu dengan kekayaan AS$10 bilion (RM47.16 bilion) turun sebanyak 29 hingga 56 orang, manakala bilangan bilionair dolar menurun sehingga 239 orang, menjadi 946 tahun ini.
“Tahun ini menyaksikan kejatuhan terbesar dalam Senarai Kaya Hurun China dalam tempoh 24 tahun yang lalu,” kata Pengerusi dan Ketua Penyelidik firma Hurun Report, Rupert Hoogewerf.
Tinjauan mendapati ekonomi global tahun ini terjejas teruk disebabkan perang di Ukraine dan pertumbuhan ekonomi yang perlahan di China. Ia diburukkan lagi dengan dasar Covid-19 yang sangat ketat di negara itu dan kemerosotan pasaran hartanah yang berpanjangan.
Tindakan keras terhadap kawal selia selama dua tahun ke atas gergasi teknologi China seperti Alibaba Group dan Tencent serta kebimbangan bahawa Presiden Xi Jinping akan mengorbankan pertumbuhan ekonomi sebagai ideologi dalam penggal ketiganya turut menjejaskan keyakinan pelabur, dengan pasaran saham Hong Kong dan Tanah Besar jatuh dalam beberapa minggu kebelakangan ini.
Bilionair, Zhong Shanshan, dengan syarikatnya yang tersenarai ialah pembotolan air, Nongfu Spring dan pembangun vaksin, Beijing Wantai Biological Pharmacy Enterprise, menduduki tempat pertama dalam senarai untuk dua tahun berturut-turut. Kekayaannya meningkat 17 peratus kepada AS$65 bilion (RM306.54 bilion).
Pengasas dan pemilik aplikasi TikTok menerusi ByteDance, Zhang Yiming pula menduduki tempat kedua, tetapi menyaksikan kekayaannya jatuh 28 peratus kepada AS$35 bilion (RM165.06 bilion) disebabkan kejatuhan dalam penilaian ByteDance. Di tempat ketiga ialah pengerusi gergasi bateri CATL, Zeng Yuqun.
Nilai kekayaan pengasas Alibaba, Jack Ma dan keluarganya sebaliknya jatuh empat tempat dan menduduki tempat ke-9 tahun ini. – Agensi