GOMBAK – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Gombak, Datuk Megat Zulkarnain Omardin mencadangkan untuk diadakan satu debat bagi semua calon yang bertanding pada kerusi tersebut.
Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) itu berkata, cadangan untuk mengadakan debat terbuka itu adalah bagi melihat apa yang ditawarkan oleh semua calon bertanding untuk didengari rakyat di Gombak.
“Apa kata kita adakan satu sesi debat untuk semua calon di sini, tujuannya untuk semua orang tahu apakah tawaran yang bakal diberikan calon kepada semua penduduk Gombak.
“Saya sudah sedia jika satu acara debat secara terbuka diadakan,” katanya dekat sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya adakah dirinya sudah bersedia jika satu majlis debat terbuka dianjurkan bagi semua calon Parlimen Gombak dalam masa terdekat ini.- KOSMO! ONLINE.