fbpx

Mahkamah: Kematian Syed Alman, pusat pakar pergigian kekal didenda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Allahyarham Syed Alman

PUTRAJAYA – Pusat Pakar Pergigian, Imperial Dental Specialist Centre Sdn. Bhd. kekal didenda RM220,000 oleh Mahkamah Rayuan di sini hari ini atas empat pertuduhan berhubung kematian Datuk Syed Alman Zain Syed Alwi yang ketika itu menantu Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi enam tahun lalu.

Keputusan sebulat suara itu, dibuat panel tiga hakim yang diketuai Datuk Hanipah Farikullah selepas menolak rayuan pusat pergigian itu selaku perayu untuk mengetepikan sabitan dan hukuman denda tersebut.

Turut bersidang ialah Hakim Datuk Hashim Hamzah dan Datuk Azman Abdullah.

Dalam penghakimannya, Hanipah berkata, rayuan yang dikemukakan oleh pusat pakar pergigian itu selaku perayu adalah tidak bermerit.

“Kami berpendapatan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tidak terkhilaf berhubung dapatannya ke atas empat rayuan tersebut, maka sabitan berkenaan adalah selamat.

“Kami juga mendapati berdasarkan prinsip penghukuman, denda yang dijatuhi oleh hakim adalah tidak melampau. Oleh itu keputusan serta hukuman Mahkamah Tinggi dikekalkan, rayuan perayu ditolak,” katanya.

Pada 14 Disember 2018, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman denda RM320,000 terhadap pusat pakar pergigian itu selepas didapati bersalah atas lima pertuduhan berhubung kematian Syed Alman Zain.

Mengikut pertuduhan pertama, premis itu sebagai pemegang lesen didakwa gagal memastikan Noor Azima Muhamad Nuwi, 26, berkelayakan untuk menjalankan prosedur radiologi (ortopantomogram) terhadap Syed Alman Zain.

Bagi pertuduhan kedua, pusat tersebut didakwa sebagai pemegang lesen didapati gagal menyimpan dan menyenggarakan suatu ‘Daftar Kakitangan’.

Manakala bagi pertuduhan ketiga, premis itu dituduh gagal menyediakan langkah-langkah perlu bagi menyelamatkan nyawa Syed Alman Zain dengan tidak menyediakan oksigen.

Bagi pertuduhan keempat, pusat itu didakwa gagal mengemukakan kepada Pusat Perubatan Universiti Malaya yang menerima pemindahan kecemasan pesakit iaitu Syed Alman Zain satu salinan semua rekod perubatan pesakit seperti yang dikehendaki mengikut Seksyen 31(1)(d) Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998.

Bagi pertuduhan kelima, OKS didakwa gagal mengambil langkah yang mencukupi untuk melindungi semua kakitangan profesional jagaan kesihatan dan persekitaran terhadap bahaya biologikal seperti yang dikehendaki di bawah Peraturan 49(5) Peraturan-peraturan Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta (Hospital Swasta dan Kemudahan Jagaan Kesihatan Lain) 2006.

Semua perbuatan itu didakwa dilakukan di pusat pakar pergigian yang terletak di Jalan Telawi, Bangsar Baru itu, antara pukul 6 petang dan 9.05 malam, antara 26 Mei dan 2 Jun 2016.

Kesemua pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 31(4), 39(2), 40(4) dan 117(2)(b)(i) Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 yang memperuntukkan hukuman denda antara RM30,000 dan RM300,000, jika sabit kesalahan.

Kemudian pada 9 Januari 2020 Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur turut mengekalkan hukuman denda namun membebaskan pusat pakar pergigian itu bagi pertuduhan kedua dan mengekalkan empat pertuduhan lain dengan menurunkan hukuman denda daripada RM320,000 kepada RM220,000.

Dalam prosiding hari ini, pusat pergigian itu diwakili peguam P. Sreekant dan Raja Eileen Soraya Raja Aman manakala pendakwaan sebagai responden diwakili Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd. Dusuki Mokhtar.

Sepanjang perbicaraan bermula 6 Mac 2017, seramai 13 saksi pendakwaan manakala dua saksi pembelaan dipanggil bagi memberi keterangan.

Pada hari kejadian Syed Alman adalah suami kepada Datuk Nurulhidayah anak sulung Ahmad Zahid.

Syed Alman dilaporkan tidak sedarkan diri ketika menjalani rawatan di pusat pakar pergigian itu dan dirujuk ke Pusat Perubatan Universiti Malaya sebelum disahkan meninggal dunia. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI