PETALING JAYA – Keprihatinan Perdana Menteri atas keluhan anak seni mengenai isu pembayaran royalti melonjak kembali semangat mereka untuk terus menghasilkan karya bermutu.
Salah satu janji yang dibuat Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ialah melihat semula isu tersebut yang pernah dibincangkan ketika beliau memegang jawatan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna sebelum ini.
Ketika itu, Akta Hak Cipta telah berjaya dipinda bagi memberi royalti kepada penyanyi dan komposer.
Bukan itu sahaja, Ismail Sabri juga melihat pindaan tersebut dapat meningkatkan pendapatan di samping menjaga kepentingan pelakon, penerbit, pengarah dan sesiapa sahaja yang terlibat dalam aktiviti perfileman.
Mengulas mengenai tindakan tersebut, Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi berkata, janji itu mengiktiraf kerjaya penggiat seni yang dilakukan kerajaan di bawah kepimpinan Barisan Nasional (BN).
Katanya, bukti kesungguhan BN termasuk meneruskan sambutan Hari Seniman pada setiap 22 Mac yang merealisasikan insurans berkelompok dan membuka skim perumahan bagi artis.
“Ia menjadi signifikan atas sumbangan karyawan terhadap negara. Sebelum ini, Hari Seniman disambut pada 29 Mei, tetapi ditukar ketika pemerintahan Ismail Sabri sempena tarikh kelahiran seniman agung, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.
“Hakikatnya, usaha ke arah menghargai sumbangan karyawan sudah digiatkan sejak era pentadbiran kerajaan di bawah BN dengan pelbagai usaha tanpa jemu,” katanya ketika dihubungi semalam.
![](https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2022/11/PM-ismail-sabru-penggiat-seni.jpeg)
Menurut Zed Zaidi, selain itu, BN terus menjaga kebajikan artis menerusi Kempen Mencarum Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri membabitkan petugas belakang tabir yang baru dilaksanakan sejak idea mengenainya dibuat pada tahun 2000.
Tambahnya, setakat ini lebih 5,000 penggiat seni telah mendaftarkan diri dan secara automatik mencarum dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
“Apabila ahli Seniman membayar yuran pendaftaran atau memperbaharui keahlian, secara automatik mereka akan dilindungi insurans, manakala bagi artis berusia 55 tahun ke atas tidak dikenakan yuran, namun Seniman menampung insurans mereka,” katanya.
Katanya, skim perumahan untuk golongan artis yang menepati syarat kelayakan sudah diperkenalkan kerajaan di bawah pentadbiran BN yang ketika itu, Tan Sri Noh Omar sebagai Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan membantu penyanyi veteran, Uji Rashid mendapatkan rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR).
Tambahnya, ramai penggiat seni terutama seniman veteran yang berkelayakan diberi peluang menyewa unit PPR.
“Sudah pasti kediaman mampu milik dalam bentuk sewaan ini melegakan anak seni yang memerlukan,” katanya.
Ujar aktor itu, industri seni tanah air tidak sunyi dengan aktiviti mahu pun program yang membantu karyawan menjana pendapatan tambahan.
Dalam pada itu, Ismail Sabri turut meluluskan peruntukan sebanyak RM100,000 untuk Tabung Khas Pembangunan Industri Filem yang dipohon Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Datuk Seri Zurainah Musa.
Tabung itu diwujudkan bagi membantu insan seni yang hilang mata pencarian akibat bencana atau hilang upaya untuk bekerja.
Ia digunakan untuk meringankan beban ditanggung penggiat seni ketika kecemasan seperti bencana alam membabitkan banjir atau situasi ketika pandemik Covid-19.
Malah, Kementerian Kewangan juga sedang mempertimbangkan cadangan untuk memberi pengecualian cukai kepada penyumbang tabung itu.
Pada masa sama, pengiktirafan terhadap anak seni termasuk pelakon dan petugas belakang tabir terus diberi keutamaan apabila 12 karyawan menerima Anugerah Ikon Ekspresi Seni.
Antaranya ialah seniwati Fauziah Nawi, Erra Fazira, Datuk Adi Putra, Janna Nick, Adrian Teh, Syamsul Yusof, Burhanuddin Md. Razi serta Abdul Rahman Mat Dali.