PETALING JAYA – Seorang ibu yang sarat mengandung sembilan bulan terpaksa bertarung nyawa apabila terperangkap dalam lif selama dua jam sebelum diselamatkan oleh sepasukan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Zufarina Nasha Zubir, 25, yang dalam perjalanan ke tempat kerja pada pukul 6.40 pagi, terperangkap dalam lif serta menghadapi kesukaran untuk menghubungi suaminya oleh kerana tiada isyarat telefon.
Beliau yang bekerja sebagai penjawat awam berkata, lebih memburukkan keadaan apabila butang loceng kecemasan lif yang dinaikinya itu rosak dan bahagian penyelenggaraan lambat tiba di tempat kejadian.
“Lebih kurang pada pukul 8.15, isyarat telefon saya ada semula, dan saya terus mesej suami untuk memaklumkan insiden itu. Disebabkan bahagian penyelenggaraan lif lambat tiba, suami terpaksa telefon bomba.
“Ketika 30 minit terawal, semuanya masih dalam keadaan baik lagi. Namun selepas 40 minit, saya mula curi-curi nafas bagi mengelakkan rasa panik dan cemas dalam ruang yang terhad itu,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.
Video tersebut yang baru sahaja dimuatnaik oleh Zufarina dua hari lepas di akaun TikToknya, mendapat perhatian penonton sehingga 1.8 juta, 125,500 tanda suka dan 2979 perkongsian.
Di dalam video itu juga, kendengaran anak-anaknya Iman Raisya bt Muhamad Husaini, 2, dan Iman Athif Rayyan, 1, yang bersama suaminya diluar lif menangis melihat ibu mereka ketika diselamatkan oleh bomba.
“Waktu diselamatkan itu, saya tidak fikir apa kecuali anak-anak dan perut dalam kandungan. Selepas diselamatkan saya terus bergegas ke hospital, dan alhamdulillah kandungan dalam keadaan selamat,” katanya yang dijangka bersalin pada 20 November ini.
Tinjauan Kosmo! diruangan komen mendapati orang ramai bersyukur tiada kejadian buruk menimpa pada wanita tersebut dan memuji kepantasan bomba dalam membantu menyelamatkan Zufarina dalam insiden itu.
“Allahuakhbar, alhamdulillah semuanya selamat. Terima kasih abang-abang bomba selamatkan dua nyawa,” komen @mekti34. – KOSMO! ONLINE