PERJALANAN 10 orang pengamal media daripada Kelab Media Johor (KMJ) mengambil masa hampir dua jam menyusuri laluan menuju ke Pulau Besar di Mersing, Johor.
Meskipun rasa seperti ‘patah pinggang’ memandu kenderaan masing-masing meredah jalan penuh berliku, namun tidak mematah semangat peserta untuk mendapatkan lesen menyelam skuba.
Program anjuran KMJ dengan kerjasama Tourism Johor dan Perbadanan Taman Negara Johor itu menyaksikan semua pengamal media daripada pelbagai agensi tersebut berjaya memperolehi lesen open water diver.
Sejurus sampai di Pulau Besar setelah menaiki bot di Jeti Mersing, para peserta dibawa ke beberapa lokasi menyelam seperti East Side, Pulau Besar dan Pulau Harimau.
Lebih menarik apabila dapat melihat Peti Pos Dasar Laut Diraja pertama di Malaysia yang sebelum ini dirasmikan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar di Pulau Mensirip.
Presiden KMJ, Mohamad Fauzi Ishak berkata, program anjuran kali ketiga itu telah mendapat penyertaan teramai daripada ahli kelab tersebut.
Katanya, usaha dilakukan itu sebagai memenuhi tuntutan skop kerja wartawan yang bukan sahaja perlu bertugas di daratan, tetapi membuat liputan di dalam air.
Menurutnya, pada masa sama, ia dapat membantu kerajaan negeri memperkenalkan produk dan destinasi pelancongan di Johor, terutamanya pulau-pulau di negeri itu.
“Pada program ini, peserta diberi peluang mengambil gambar sendiri di laut. Rentetan itu, kami telah merancang beberapa aktiviti pada tahun depan, antaranya program pembersihan pantai di Mersing.
“Dengan adanya lesen yang dimiliki oleh para wartawan KMJ, kami dapat jayakan program kemasyarakatan ini bersama kerajaan negeri, pejabat daerah dan taman laut,” katanya ketika ditemui Horizon pada program tersebut.
Sementara itu, jurukamera Radio Televisyen Malaysia, Mohd. Nooh A. Manap berkata, penyertaannya dalam program itu adalah untuk mencabar diri yang trauma dengan air ekoran pernah lemas sewaktu zaman remaja.
“Saya memang fobia dengan air dan pernah beberapa kali hendak lemas ketika zaman remaja dahulu. Sejak itu saya memang tidak terlibat dengan aktiviti air.
“Selepas ajakan rakan-rakan media serta beberapa kali menyertai kelas yang dianjurkan oleh KMJ di kolam, kami ke pulau untuk menghadapi ujian sebenar dan saya berjaya mengatasi fobia air tersebut.
“Sebagai jurukamera, rakaman di dalam air memang memerlukan kelengkapan khas serta lesen skuba untuk kita sajikan rakaman di dalam laut kepada para penonton,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Pegawai Berita Bernama, Shaidathul Suhana Ros berkata, tujuannya menyertai program itu adalah untuk mencabar diri agar berani turun ke laut sambil menikmati khazanah yang ada 4di dalamnya.
“Bagi menghilangkan rasa takut, saya beli barang kelengkapan selam skuba walaupun belum lulus. Memang tidak pernah terfikir untuk cuba aktiviti ekstrem ini, namun ia satu cabaran buat saya.
“Apa yang saya lakukan adalah menjawab peperiksaan bersungguh-sungguh, datang latihan setiap hari dan mencari ilmu tambahan di internet. Alhamdulillah, kami berjaya lulus untuk mendapatkan lesen skuba ini.
“Dengan adanya lesen skuba ini, kami sudah boleh membuat laporan di dasar laut. Terima kasih kepada KMJ,” katanya.
Sementara itu, wartawan Sin Chew Daily, Teo Wen Hui berkata, program itu menjadi platform buatnya untuk mengeratkan silaturahim dengan sahabat media daripada pelbagai agensi.
“Saya masih baru di dalam KMJ. Melalui program ini saya dapat mengenali lebih ramai kawan baharu. “Program ini memang bagus untuk kami mencuba salah satu aktiviti yang mencabar.
“Ia sangat berbaloi apabila semasa menyelam, kami dapat menikmati pemandangan indah di dasar laut,” katanya.