PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di 10 negeri sehingga pukul 5 petang ini.
MetMalaysia berkata, di bahagian utara, negeri yang berdepan dengan cuaca buruk ini adalah Kedah (Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Yan, Pendang, Kuala Muda, Sik, Baling, Kulim dan Bandar Baharu) dan seluruh Pulau Pinang.
“Kawasan di Perak yang diramalkan menghadapi ribut petir adalah Kerian sahaja manakala di Pahang, kawasan yang terbabit adalah Lipis, Raub, Jerantut, Bentong, Temerloh, Maran dan Bera.
“Seluruh Selangor, Lembah Kelang seperti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Putrajaya turut dijangka hujan lebat,” ujarnya menerusi kenyataan di laman sesawangnya.
Tambah MetMalaysia lagi, amaran ribut petir turut dikeluarkan di seluruh Negeri Sembilan, Melaka dan Johor (Tangkak dan Muar).
“Sementara itu di Sarawak, cuaca buruk diramalkan bagi kawasan Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman (Sri Aman), Betong, Sarikei, Sibu (Sibu), Mukah (Tanjung Manis, Daro dan Mukah), Kapit (Song), Bintulu (Tatau), Miri (Miri dan Marudi) dan Limbang manakala di Sabah kawasan yang terbabit adalah Pantai Barat (Papar, Penampang, Kota Kinabalu, Tuaran dan Kota Belud),” kata MetMalaysia. – KOSMO! ONLINE