ALOR SETAR – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Nerang, Mohamad Yusoff @ Munir Zakaria hari ini mengangkat sumpah selaku Exco Kerajaan Negeri Kedah yang baharu.
Mohamad Yusoff yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Kedah mengangkat sumpah jawatan itu di hadapan Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah di Balai Penghadapan, Istana Anak Bukit di sini kira-kira pukul 11 pagi.
Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor, Exco baharu itu akan memegang portfolio Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerja Raya, Bekalan Air dan Sumber Air, Pengairan dan Saliran serta Tenaga.
“Saya sebelum ini hanya mencalonkan satu nama sahaja iaitu Mohamad Yusof kepada Sultan Sallehuddin dan baginda kemudiannya memberikan perkenan terhadap pelantikan tersebut.
“Bagi pihak kerajaan negeri, kami mengalu-alukan pelantikan ini dengan harapan semua pihak akan memberikan kerjasama baik kepada beliau untuk melaksanakan tugas serta tanggungjawab diamanahkan kepadanya,” katanya pada sidang akhbar di Wisma Darul Aman di sini hari ini.
Kata beliau, Mohamad Yusoff memiliki pengalaman dalam kerja-kerja sivil dan diyakini mampu mengendalikan projek-projek penting yang sedang berjalan seperti naik taraf lima Loji Rawatan Air (LRA) serta tebatan banjir.
Portfolio tersebut sebelum ini kosong setelah ADUN Sungai Tiang, Datuk Suraya Yaacob melepaskan jawatan berkenaan pada 13 Oktober lalu sebagai persediaan untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15). – KOSMO! ONLINE