fbpx

Adira Suhaimi ‘tutup kilang’, ikat peranakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ADIRA SUHAIMI - Foto AFIQ RAZALI

PETALING JAYA – Selepas dikurniakan cahaya mata keempat pada 29 September lalu, penyanyi Adira Suhaimi nekad melakukan prosedur mengikat organ peranakannya untuk mengelakkan daripada kembali hamil.

Ujar Adira, 31, keputusan tersebut dibuat bukan kerana terlalu ‘subur’, sebaliknya atas nasihat doktor memandangkan sudah empat kali dia bersalin secara pembedahan caesarean (czer).

“Cukuplan empat orang anak. Sudah empat kali saya bersalin secara pembedahan czer. Kalau saya hamil lagi, mungkin akan ada risiko kesihatan.

“Atas sebab tertentu dan nasihat doktor, saya bersetuju untuk ikat peranakan. Suami pun tiada halangan,” katanya kepada Kosmo! Online.

Jelas Adira atau nama lengkapnya Siti Adira Suhaimi, selepas dikurniakan empat orang anak, dua lelaki dan dua perempuan, kehidupannya sebagai isteri dan ibu sudah lengkap.

“Cukuplah dua lelaki dan dua perempuan. Selepas ini saya boleh fokus dengan empat orang anak. Alhamdulillah saya rasa kehidupan saya kini sudah pun lengkap.

“Saya sangat bersyukur dengan kurniaan ini termasuk soal kerjaya juga,” ujarnya.

Ketika ditanya tentang pembahagian masa antara kerjaya dan anak-anak, pelantun Ombak Rindu itu berkata tidak mempunyai masalah kerana mempunyai pembantu rumah.

“Anak-anak masih kecil. Saya kena ada pembantu untuk menolong saya. Tapi anak-anak tetap nombor satu.

“Soal kerja, saya bukan memilih, tapi kalau memerlukan saya bergerak terlalu jauh, saya akan fikir juga. Paling tidak saya akan bawa anak bersama-sama. Kalau kena ‘terbang’ pun saya akan minta balik hari,” jelasnya.

Sempat berkongsi tentang pemilihan nama anak bongsunya iaitu Ayub, Adira yang ditemui semasa majlis perlantikannya sebagai duta produk Body Flasshh di Hotel JW Marriot, semalam memberitahu, hanya memberikan nama ringkas untuk anak-anaknya.

“Saya suka nama yang ringkas. Mudah untuk kita ingat. Letak nama panjang-panjang pun, orang panggil nama pendek juga.

“Selain Ayub, tiga lagi nama anak saya juga ringkas iaitu Anggrek, Asan dan Anggun,” katanya.

Untuk rekod, Adira bernikah dengan seorang ahli perniagaan, Datuk Seri Adnan Abu atau Datuk Red pada 3 Disember 2015 di Songkhla, Thailand.

Hasil perkongsian hidup, Adira dan suami dikurniakan empat cahaya mata, Anggrek, 5, Asan, 4, Anggun, 3 dan Ayub, dua bulan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI