JAKARTA – Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB) memaklumkan bahawa negara itu telah dilanda sekitar 3,207 bencana alam sehingga November 2022, lapor stesen penyiaran CNN Indonesia semalam.
Ketua BNPB, Suharyanto berkata, 95 peratus daripada jumlah itu adalah bencana hidrometeorologi seperti banjir dan tanah runtuh.
“Sehingga November 2022, sekitar 3,207 bencana telah berlaku di Indonesia.
“Sekitar 94 hingga 95 peratus daripadanya didominasi oleh bencana hidrometeorologi,” kata Suharyanto selepas menghadiri Tinjauan Kesiagaan Nasional untuk Bencana Hidrometeorologi di Cibubur, Jakarta semalam.
Menurut beliau, banjir ketika ini berlaku di serata Indonesia termasuk hampir seluruh kawasan pulau Sumatera. Hanya kawasan di Indonesia Timur tidak kerap berlaku banjir.
“Di Aceh secara purata, semua daerah telah dilanda banjir. Seluruh wilayah Jawa, Kalimantan Barat dan Kalimantan Tengah turut dilanda banjir,” katanya.
Suharyanto berkata, beliau berharap agar semua pihak terlibat mula peka dengan kesan cuaca ekstrem yang berpotensi menyebabkan bencana hidrometeorologi.
Jabatan Meteorologi (BMKG) sebelum ini meramalkan bahawa cuaca ekstrem akan berlaku sepanjang November 2022 hingga Februari 2023.
“(Cuaca ekstrem) ini belum sampai kemuncak lagi. Kemuncak hujan akan berlaku pada Disember hingga Januari. Semoga persediaan menghadapi bencana di peringkat wilayah dan pusat sudah siap,” katanya. – Agensi